KOTA TINGGI, 18 Jan (Bernama) -- Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes penemuan mayat seorang wanita di pantai berhampiran Lubuk Sepang, Bayu Damai, Pengerang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata hasil bedah siasat hari ini juga mendapati wanita itu dipercayai warga asing berikutan tidak mempunyai tanda suntikan imunisasi Bacillus Calmette Guerin (BCG).
“Bagaimanapun, identiti dan warganegara mangsa tidak dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira 10.40 pagi berhubung penemuan mayat seorang wanita terdampar dipercayai lemas di pantai berkenaan, dengan media melaporkan terdapat kesan kecederaan pada bahagian paha kanan mangsa.
-- BERNAMA