JOHOR BAHRU, 19 Jan (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin menyifatkan pelantikan barisan baharu ahli Lembaga Majlis Media Malaysia (MMM) sebagai satu tanggungjawab besar dalam usaha memperkukuh amalan kewartawanan beretika serta membendung penularan salah fakta dan laporan tidak tepat.
Beliau berkata pelantikan itu membuka ruang perkongsian kepakaran dalam bidang kewartawanan, termasuk aspek pelaporan beretika, sekali gus memperkasakan kredibiliti industri media negara.
Nur-ul Afida berkata beliau bersedia menyumbang kepakaran kepada MMM, khususnya dalam pengurusan krisis komunikasi, selain berkongsi peranan Bernama sebagai jentera komunikasi negara.
“Sebagai KPE Bernama, saya boleh membantu Majlis Media Malaysia dalam aspek pengurusan krisis komunikasi serta berkongsi peranan Bernama sebagai agensi komunikasi negara yang sentiasa mengutamakan prinsip kewartawanan beretika.
“Pelaporan berlandaskan etika bukan sahaja memastikan ketepatan maklumat, malah mampu mengelakkan berlakunya salah fakta dan salah lapor,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan raptai persiapan Majlis Penutup Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nur-ul Afida berharap barisan ahli Lembaga MMM dapat bekerjasama rapat bagi menyokong pelaksanaan tugas serta peranan yang dipikul oleh kepimpinan media negara.
“Saya juga berharap rakan-rakan dalam Lembaga Majlis Media Malaysia dapat membantu saya dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, dalam melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya.
“Ini satu amanah besar dan saya berharap dapat melaksanakan tanggungjawab demi kebaikan industri media negara,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan menamakan Suhaimi dan Nur-ul Afida sebagai wakil kerajaan dalam Lembaga MMM.
Penamaan itu dibuat oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada 14 Jan lepas, selaras dengan peruntukan Seksyen 8(1)(b) Akta Majlis Media Malaysia 2025.
Dalam kenyataan hari ini, Lembaga MMM mengalu-alukan penamaan berkenaan dengan menyifatkan Suhaimi memiliki pengalaman luas dalam bidang penyiaran dan kewartawanan merangkumi sektor awam dan swasta.
Lembaga MMM turut menyifatkan Nur-ul Afida sebagai berpengalaman dalam pengurusan organisasi berita serta pentadbiran media pada peringkat kebangsaan, selain mempunyai penglibatan meluas dalam ekosistem media arus perdana negara.
Dengan pelantikan dua wakil kerajaan itu, kini 20 daripada 21 jawatan dalam lembaga berkenaan telah diisi.
-- BERNAMA