JOHOR BAHRU, 20 Jan (Bernama) -- Generasi muda harus cakna dengan risiko dan ancaman dalam talian yang antaranya boleh menyebabkan mereka terdedah kepada buli siber, pencerobohan privasi serta ancaman terhadap keselamatan diri.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata penggunaan Internet yang selamat bukan hanya bergantung kepada teknologi semata-mata sebaliknya turut memerlukan sikap bertanggungjawab dan kesedaran pengguna.
Beliau berkata sehubungan itu, generasi berkenaan khususnya penuntut institusi pengajian tinggi perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan keselamatan siber.
"Setiap klik, setiap perkongsian dan setiap keputusan yang kita buat dalam talian membawa implikasi.
"Saya percaya bahawa kejayaan sesebuah organisasi dan negara pada masa hadapan sangat bergantung kepada generasi muda yang bukan sahaja celik teknologi tetapi juga bijak, beretika dan bertanggungjawab dalam dunia digital," katanya ketika berucap pada penutup program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Arul Rajoo Durar Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak, Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Azirin Abdul Aziz serta Timbalan Pengarah Akademik PIS yang menjalankan tugas Pengarah Tengku Nadzion Tengku Ibrahim.
Dalam pada itu, Nur-ul Afida berkata usaha Kementerian Komunikasi menerusi penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 atau ONSA, memperkukuh keselamatan ekosistem digital dan menangani kemudaratan dalam talian yang semakin serius melalui peraturan lebih jelas terhadap platform digital di Malaysia.
Beliau berkata ONSA, yang berkuat kuasa pada 1 Jan lepas, berupaya membendung penularan kandungan berbahaya dan jenayah siber selain memastikan persekitaran dalam talian yang selamat terutama kepada golongan rentan, kanak-kanak serta keluarga.
Justeru, beliau berharap Program Jelajah HAWANA 2025 Bersama Siswa akan terus menjadi platform bagi memperkasa mahasiswa dan mahasiswi sebagai rakan strategik media dalam membina masyarakat bermaklumat serta bertanggungjawab.
Terdahulu, Nur-ul Afida yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026, merasmikan penutup program berkenaan yang melabuhkan tirainya hari ini dengan penyertaan lebih 500 pelajar dan pensyarah.
Program sehari dengan kerjasama PIS serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebagai rakan strategik itu merupakan kesinambungan kejayaan edisi 2024, yang telah menarik penyertaan kira-kira 2,000 pelajar dan pensyarah daripada 16 universiti awam, selain menyaksikan penyaluran 17 sumbangan kepada universiti terpilih.
Nur-ul Afida bagi pihak Kementerian Komunikasi turut menyampaikan sumbangan berupa sebuah televisyen pintar kepada enam institusi iaitu PIS, Politeknik Mersing Johor, Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Politeknik METrO Johor Bahru, Kolej Komuniti Segamat dan Kolej Kemahiran Johor.
-- BERNAMA