NILAI, 20 Jan (Bernama) --Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya amalan rasuah diperangi secara besar-besaran akan dilaksanakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaik mungkin, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata untuk itu, SPRM akan menggiatkan usaha membanteras perkara tersebut sekali gus memastikan isu rasuah termasuk melibatkan pelbagai agensi dalam negara, disiasat dengan lebih efektif.
“Yang di-Pertuan Agong telah menyebut tentang agensi-agensi yang sedang disiasat ini, kami akan bergerak menyiasat kes sebegini dengan lebih efektif tanpa memilih kasih, memilih “bulu”, tanpa mengira kelas seseorang itu dan sebagainya.
“Dan ini sebenarnya telah dibuktikan SPRM sejak beberapa tahun lepas lagi, jadi kalau ada masyarakat masih memandang kami hanya menyiasat “ikan bilis” terpulang...Ini semua persepsi yang pada saya mungkin hanya mahu melihat kejatuhan SPRM sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Latihan Asas (PLA) Akademi SPRM (MACA) yang turut dihadiri Pengarah Kanan MACA Datuk Mohd Hafaz Nazar, di sini hari ini.
Semalam, Seri Paduka Baginda menzahirkan ketegasan dengan menitahkan supaya amalan rasuah diperangi secara besar-besaran, dengan tiada sesiapa pun boleh dilindungi daripada tindakan undang-undang.
Sultan Ibrahim bertitah usaha membanteras rasuah tidak boleh tertumpu hanya kepada penerima rasuah, sebaliknya pemberi rasuah, ejen atau mana-mana pihak yang bersubahat turut perlu disiasat dan dikenakan tindakan tegas.
Baginda bertitah SPRM hendaklah menjalankan siasatan dengan cepat, tegas dan menyeluruh tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Terdahulu, Azam berkata PLA yang menelan kos kira-kira RM4 juta yang boleh memuatkan lebih 200 peserta itu, mencerminkan komitmen berterusan SPRM melahirkan generasi baharu pegawai yang bukan sahaja kompeten malah bermoral dan beretika tinggi.
“Kita akan memulanya kursus asas membabitkan 176 peserta bermula Februari ini selama sembilan bulan dan kita akan teruskan, kalau boleh dalam tempoh itu ada satu kumpulan lagi akan masuk, bangunan ini akan digunakan sebaik mungkin supaya kursus dapat dijalankan dengan lebih selesa,” katanya.
Beliau berkata MACA kini melaksanakan modul latihan asas yang lebih komprehensif melalui gabungan Modul Latihan Luar dan Modul Akademik, hasil kerjasama strategik bersama Enforcement Leadership and Management University (ELMU).
Sementara itu, Mohd Hafaz berkata PLA tersebut selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sumber Manusia (PPSM) Jabatan Perkhidmatan Awam, yang menekankan penyediaan ekosistem latihan berstruktur bagi pembangunan kompetensi sejak peringkat awal perkhidmatan.
Beliau berkata pewujudan pusat latihan ini membolehkan Kursus Asas Pegawai SPRM 2026 dilaksanakan secara lebih tersusun dan berimpak, sekali gus mencerminkan keupayaan SPRM dan MACA menterjemahkan dasar pembangunan modal insan sektor awam kepada pelaksanaan yang menyokong kelestarian organisasi.
“Pusat ini tidak wajar dilihat sebagai sebuah pusat latihan yang terasing atau bersifat berdiri sendiri, sebaliknya, ia perlu difahami sebagai pusat latihan satelit yang melengkapi peranan MACA secara keseluruhan.
“Kewujudannya memperkukuh ekosistem latihan SPRM dengan menyediakan kapasiti tambahan bagi latihan asas dan memastikan kelangsungan dan kelancaran program pembangunan pegawai baharu dapat dilaksanakan secara berterusan dan terancang,” katanya.
-- BERNAMA