AM

RM100 Juta Diperuntuk Tahun Ini Bagi perluas Rawatan dialisis Peritoneal - Dzulkefly

20/01/2026 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi memperkukuh pelaksanaan rawatan dialisis peritoneal (PD) pada tahun ini untuk pesakit dewasa serta kanak-kanak yang mengalami kegagalan buah pinggang tahap akhir.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata jumlah berkenaan meningkat berbanding RM40 juta pada tahun-tahun sebelumnya.

“Kira-kira lebih lima juta (15.5 peratus) rakyat Malaysia sedang berdepan masalah penyakit buah pinggang kronik (CKD).

“Berdasarkan 32nd Report of the Malaysian Dialysis and Transplant Registry 2024 (MDTR 2024), sebanyak 9,473 pesakit baharu CKD tahap 5 iaitu pesakit kegagalan ginjal tahap akhir (ESKD) yang memerlukan rawatan dialisis, dengan jumlah pesakit dialisis semasa di seluruh Malaysia sebanyak 55,237 orang,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai pelaksanaan PD sebagai alternatif utama rawatan CKD.

Rawatan PD menggunakan kateter untuk memasukkan larutan dialisis ke dalam ruang dalam abdomen pesakit untuk menapis darah melalui membran peritoneal manakala hemodialisis (HD) pula menapis darah pesakit melalui mesin luaran, yang memerlukan jarum untuk mengalirkan darah ke dalam mesin.

Dalam usaha menggalakkan rawatan PD khususnya di luar bandar, Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan dasar Peritoneal Dialysis First yang diluluskan pada 20 Okt 2022 bagi menjadikan PD sebagai rawatan pilihan pertama untuk pesakit ESKD yang layak.

“Objektif polisi ini adalah menjadikan PD sebagai rawatan pilihan pertama bagi pesakit ESKD yang layak, dengan memastikan penjagaan dialisis yang saksama, mampan dan berpusatkan pesakit,” katanya sambil menambah pelaksanaan PD sebagai terapi pilihan utama mampu mengurangkan jurang akses rawatan antara fasiliti bandar dan komuniti luar bandar.

Beliau berkata KKM menyasarkan 50 peratus pesakit ESKD di fasiliti KKM menjalani rawatan PD dalam tempoh lima tahun akan datang, berbanding pencapaian semasa 42 peratus.

Selain itu, Dzulkefly berkata kementerian juga menyasarkan 20 peratus pesakit dialisis di seluruh negara termasuk sektor swasta menjalani rawatan PD menjelang 2030.

Mengulas data rawatan semasa, beliau berkata sebanyak 1,723 pesakit baharu memulakan rawatan PD berbanding 7,750 pesakit yang memulakan rawatan HD berdasarkan laporan MDTR 2024.

Dzulkefly berkata antara cabaran utama memperluas penggunaan PD ialah literasi pesakit yang rendah, kekangan kemudahan asas di pedalaman, masalah ruang penyimpanan di rumah serta keterbatasan pembiayaan.

“Bagi menanganinya, pelbagai inisiatif dilaksanakan merangkumi pendidikan dan sokongan psikososial pesakit, penambahbaikan kemudahan asas, pengukuhan peranan penjaga dan komuniti serta sokongan kewangan melalui kerjasama merentas agensi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2514648