AM

Perubahan Perundangan Perlu Sebelum Pelaksanaan Sistem Pendidikan Prauniversiti - Zambry

20/01/2026 06:04 PM

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Beberapa perubahan dari segi perundangan perlu diselesaikan sebelum sistem pendidikan prauniversiti yang melibatkan Tingkatan 6 dan Matrikulasi dimulakan pada tahun ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Bercakap dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 di sini hari ini, beliau berkata sebelum ini, pengurusan Tingkatan 6 dan Matrikulasi dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan kini ia memerlukan penyesuaian undang-undang sedia ada.

“Kalau sebelum ini, (bagi) Tingkatan Enam dan juga Matrikulasi sistem penilaian itu dilakukan pada peringkat KPM. Untuk melaksanakan itu, maka langkah awal bagi memastikan Tingkatan Enam dan juga Matrikulasi, dilaksanakan pada peringkat pendidikan tinggi, maka kita perlu menyelesaikan dulu dari segi beberapa perubahan undang-undang atau dalam akta yang sedia ada itu nanti,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melancarkan RPN 2026-2035 berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti membabitkan Tingkatan 6 dan Matrikulasi bermula tahun ini.

Sebelum ini pada Februari 2025, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dilaporkan berkata Kolej Matrikulasi dan Kolej Tingkatan Enam kekal di bawah KPM dan tiada sebarang keputusan yang dimuktamadkan kerajaan berhubung pengambilalihan dua institusi pengajian itu oleh KPT.

Zambry berkata seiring dengan RPN 2026-2035, sistem pendidikan tinggi negara akan dengan merangkumi pendekatan yang lebih luwes, iaitu lebih fleksibel dan adaptif.

“Ia tidak lagi terhad kepada bangunan fizikal dan kurikulum khusus. Sebelum ini, pelajar terikat dengan struktur tertentu untuk menamatkan pengajian. Namun kini, pelajar boleh memilih laluan yang lebih terbuka melalui apa yang dipanggil ‘empat kuadran’.

“Pelajar juga boleh memanfaatkan sistem jukebox, mereka boleh mengambil kursus dari universiti berbeza berdasarkan persefahaman antara institusi. Sebagai contoh, Universiti Malaya (UM) akan mempunyai kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Pelajar boleh mengikuti beberapa kursus di UM, sebahagian di UKM dan sebahagian lagi di UTM,” katanya.

Sementara itu, Zambry berkata KPT akan mengadakan satu permukiman khas bagi memastikan setiap agenda di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 dapat dilaksana sebaik mungkin.

“Untuk itu, kita akan segera mengadakan permukiman khas dan dengan mendapat panduan juga daripada beberapa pakar, yang dapat memandu bagi memastikan kaedah yang terbaik untuk kita melaksanakan pelbagai agenda yang ditetapkan dalam pendidikan tinggi ini,” katanya.

RPN 2026-2035 ialah langkah reformasi pendidikan bagi membina masa hadapan generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.

Pelan pendidikan baharu itu melibatkan dua kementerian iaitu KPM dan KPT serta rancangan strategik pendidikan nasional yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara, daripada peringkat sekolah sehingga pendidikan tinggi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2514667