SHAH ALAM, 21 Jan (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor menerima tiga aduan berhubung sebuah taska dipercayai terbabit dalam kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) termasuk isu penderaan di cawangannya, seperti tular di media sosial.
Pengarah JKM Selangor Azmir Kasim berkata setakat aduan diterima membabitkan cawangan di sekitar Shah Alam dan Puchong iaitu di Seksyen 3, Kota Kemuning dan Puchong Prima.
“Semua kes ini dalam siasatan JKM. Pegawai telah diarahkan untuk turun sejak pagi tadi untuk menyiasat aduan-aduan yang diterima,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata agensinya tidak membiayai taska di cawangan Shah Alam yang dikaitkan dengan kes penderaan kanak-kanak.
Asyraf Wajdi berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat terlibat dalam salah laku sedemikian, khususnya yang mendapat pembiayaan daripada MARA.
Sebelum ini tular di media sosial, video dipercayai dikongsi petugas di sebuah taska di Shah Alam yang memaparkan seorang kanak-kanak autistik dikurung dalam sebuah stor dengan keadaan menangis teresak-esak.
Turut tular video memaparkan kanak-kanak dengan jenama taska yang sama di cawangan Puchong diminta merangkak di dalam longkang didakwa bagi mengelak pemeriksaan pihak JKM.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian yang tular dalam video terbabit.
Bagaimanapun, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci selain memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Laymand Rayne ditalian 014-6907071.
“Terdapat empat video tular di media sosial yang dikongsikan pemilik akaun Instagram tersebut. Setakat ini pihak polis belum menerima laporan berhubung video tular itu dan masih menjalankan siasatan secara terperinci,” katanya.
-- BERNAMA