KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Pengeluar makanan yang berpangkalan di Melaka, Guan Huat Seng Holdings Bhd mencatat harga 24 sen sesaham pada kemunculan pertamanya di Pasaran ACE hari ini, rendah sedikit daripada harga tawaran awam permulaannya (IPO) pada 25 sen sesaham.
Pada loceng pembukaan, sejumlah 5.61 juta saham syarikat itu telah berpindah tangan.
Pengarah Urusannya Yeo Tien Ee berkata pergerakan harga saham itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor luar yang juga di luar kawalan syarikat dan sama sekali tidak menjejaskan keyakinan syarikat terhadap strategi perniagaannya.
“Syarikat ini terus berada di landasan untuk melaksanakan disiplin pelan perniagaan serta penyampaian hasil operasi yang konsisten. Kami juga percaya dari semasa ke semasa, nilai perniagaan kami akan dapat dibuktikan sewajarnya dalam harga saham,” katanya pada sidang media secara maya selepas majlis penyenaraian itu di sini, hari ini.
Bagi prospek masa depan, syarikat itu kekal yakin dengan keupayaan merealisasikan pertumbuhan yang mampan, katanya.
“IPO ini akan memberi kami akses mengumpulkan modal bagi tujuan pengembangan dan pelaksanaan strategi syarikat seperti menambah baik fasiliti, rangkaian produk, pemasaran dan kehadiran runcit. Kami juga berhasrat untuk mengukuhkan perniagaan, meningkatkan kecekapan dan mewujudkan nilai jangka panjang untuk pemegang saham,” katanya.
Syarikat itu berjaya mengumpulkan sejumlah RM30 juta daripada IPO itu dengan RM12 juta atau 40 peratus dimanfaatkan untuk menampung sebahagian pembiayaan pembangunan kompleks bersepadu baharu di Batu Berendam, Melaka; RM9 juta untuk sebahagian pembiayaan penubuhan fasiliti baharu di Krubong; RM3 juta untuk modal kerja; RM1.50 juta bagi perbelanjaan pemasaran dan RM4.5 juta untuk kos penyenaraian.
-- BERNAMA