KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Cabaran pemain skuasy negara Rachel Arnold pada Tournament of Champions (ToC) 2026 berakhir lebih awal apabila tersingkir pada pusingan pertama saingan berkenaan di New York, Amerika Syarikat, Khamis.
Rachel, wakil tunggal Malaysia yang beraksi pada hari pertama kejohanan bertaraf Platinum berlangsung di gelanggang kaca Grand Central Terminal itu, tumpas kepada pilihan ketujuh dari Belgium Tinne Gilis 12-14, 1-11, 10-12.
Kekalahan tersebut menyaksikan pemain ranking ke-22 dunia itu gagal mencatat kemenangan ke atas Gilis buat kali kedua berturut-turut selepas kali terakhir pada Terbuka Hong Kong 2025.
Sementara itu, beberapa pemain utama negara dijadual beraksi hari ini, termasuk pilihan kelima S. Sivasangari serta Ng Eain Yow dalam kategori lelaki.
Sivasangari bakal memulakan kempen menentang wakil Scotland Georgia Adderley, manakala Eain Yow akan berdepan pemain England Curtis Malik.
-- BERNAMA