AM

RPTM: USM Tubuh Credentia, MCCBS Untuk Perluas Peluang Pendidikan Sepanjang Hayat

23/01/2026 12:17 PM

GEORGE TOWN, 23 Jan (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) menubuhkan Unit Pendidikan Fleksibel dan Pentauliahan atau Credentia sebagai pelengkap kepada ekosistem serta mekanisme pentauliahan mikro sedia ada bagi laluan pendidikan fleksibel.

Naib Canselor USM Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata penubuhan Credentia sejajar dengan hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang meletakkan pembelajaran sepanjang hayat sebagai teras kepada sistem pendidikan tinggi yang inklusif, fleksibel dan berorientasikan masa hadapan. 

"Credentia berperanan menyelaras penganugerahan Malaysia Micro-credential Statement (MMS) bagi tujuan pemindahan kredit dan menyokong pelaksanaan pembelajaran sepanjang hayat secara sistematik di peringkat universiti. 

"Penubuhan unit itu mencerminkan komitmen USM untuk menginstitusikan pendidikan fleksibel sebagai sebahagian daripada ekosistem nasional, dan bukan sekadar inisiatif terasing," menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata menerusi Credentia, USM kini turut membangunkan Micro-Credential Credit Bank System (MCCBS) sebagai sistem pentadbiran dan pengurusan kredit yang menyokong pengumpulan, penggabungan dan pemindahan kredit pentauliahan mikro ke arah kelayakan lebih tinggi termasuk ijazah bertimbun.

Abdul Rahman berkata MCCBS juga direka selari dengan konsep Academic Bank Credits (ABC) yang bakal diperkenal oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai platform nasional bagi pengumpulan, penyimpanan dan pemindahan kredit akademik yang membolehkan mobiliti pembelajaran, pengiktirafan pembelajaran terdahulu serta laluan pendidikan lebih anjal.

Beliau berkata MCCBS membolehkan penyepaduan dengan platform nasional pada masa hadapan, dan pendekatan itu memastikan penyelarasan struktur, pentadbiran serta dasar USM dengan agenda RPTM 2026-2035.

Inisiatif Credentia dan MCCBS, katanya meletakkan USM sebagai rakan strategik kepada agenda nasional dalam memperluas akses pendidikan tinggi yang fleksibel serta inklusif sekali gus melengkapkan inisiatif di peringkat kementerian selain membuka ruang kepada sinergi lanjut dengan pelbagai strategi di bawah RPTM 2026-2035.

RPTM 2026-2035, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jan lepas, menggariskan hala tuju baharu pendidikan tinggi negara yang berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan kemampanan bagi melahirkan insan berilmu, beretika serta berdaya saing di peringkat global.

RPTM 2026-2035 akan berlandaskan empat nilai teras yang digariskan dalam Kerangka Pendidikan Tingg: berpaksikan kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama dan kemampanan.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2515849