JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Tinggi Kekalkan Hukuman Penjara, Sebat Terhadap Da’i Syed

23/01/2026 03:19 PM

SHAH ALAM, 23 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap pendakwah selebriti Da’i Syed, atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, bagi kesalahan merogol seorang wanita.

Hakim Adlin Abdul Majid juga memerintahkan hukuman itu bermula hari ini selepas menolak rayuan pembelaan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atas Syed Shah Iqmal.

Dalam penghakimannya, Adlin berkata Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf menilai elemen kesalahan rogol dalam keputusan sebelum ini kerana pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya manakala pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah.

“Hakim Mahkamah Sesyen mendapati pembelaan tertuduh pada dasarnya bersifat penafian, dan terdapat percanggahan dalam keterangan yang diberikan oleh tertuduh berkenaan kejadian yang berlaku. 

“Secara amnya, dapatan hakim berkenaan pembelaan tertuduh adalah dapatan fakta yang dibuat setelah meneliti keterangan-keterangan termasuk keterangan lisan oleh tertuduh sendiri... mahkamah atasan tidak seharusnya mengganggu dapatan fakta yang dibuat oleh mahkamah bawahan melainkan terdapat kesilapan yang jelas,” katanya. 

Beliau turut menolak rayuan pendakwaan terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas tertuduh atas alasan tempoh pemenjaraan yang dikenakan adalah munasabah memandangkan tiada bukti kekasaran atau keganasan berlebihan semasa kejadian.

Peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, yang mewakili Da'i Syed, kemudian memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga dan memberikan kerjasama sepanjang prosiding kes itu.

Mahkamah menolak permohonan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Maizatul Munirah Abdul Rahman membantah kerana alasan menunggu rayuan adalah tidak kukuh.

Pada 30 Ogos 2024, Syed Shah Iqmal dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah atas kesalahan terbabit dan Hakim Norazlin Othman memerintahkan bapa dua anak itu menjalani hukuman serta-merta.

Bagaimanapun, pada 20 Sept 2024 Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan pelaksanaan hukuman itu, yang telah berjalan selama 21 hari, ditangguhkan sehingga rayuan di mahkamah berkenaan selesai. 

Pada 10 Dis 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa yang berusia 23 tahun di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini pada 1.35 pagi 11 Sept 2019.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2515912