Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Ringgit melepasi paras psikologi penting 4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun pada 3.9992 hari ini, didorong kekukuhan prospek ekonomi Malaysia, keredaan ketegangan geopolitik serta keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman.
Kali terakhir ringgit berada di paras itu pada 18 Jun, 2018 yang mencecah 3.9960/9990.
Pada 6 petang, ringgit melonjak kepada 4.0045/0080 berbanding dolar AS daripada 4.0370/0415 ketika ditutup pada Khamis, kali terakhir ringgit mencapai paras itu 4.0040/0090 adalah pada 4 Jan, 2021.
Unit tempatan juga diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain serta mata wang negara serantau ASEAN pada Jumaat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran bertambah baik disokong oleh tekanan geopolitik yang semakin reda serta prospek ekonomi Malaysia yang kukuh tahun ini.
“Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia agak positif dalam penilaiannya berdasarkan kenyataan susulan keputusan semalam.
“Ekonomi akan disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan seperti penggunaan dan pelaburan, pelaksanaan projek berskala kecil, pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan serta kekukuhan berterusan sektor elektrik dan elektronik (E&E),” katanya kepada Bernama.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut menaikkan unjurannya bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia kepada 4.3 peratus bagi 2026 dan 2027, mewakili semakan naik sebanyak 0.3 mata peratusan.
Berdasarkan kemas kini Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) Januari 2026 yang dikeluarkan pada Selasa bertajuk “Global Economy: Steady amid Divergent Forces”, IMF turut mengunjurkan pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia pada kadar 4.6 peratus pada 2025, berbanding pertumbuhan 5.1 peratus pada 2024.
Sebelum ini, IMF menjangkakan KDNK Malaysia pada kadar 4.5 peratus bagi 2025 dan 4.0 peratus bagi 2026.
Laporan itu menjelaskan pertumbuhan global diunjurkan kekal berdaya tahan pada 3.3 peratus bagi 2026 dan 3.2 peratus bagi 2027, iaitu kadar yang sama dengan unjuran 3.3 peratus pada 2025.
Pada akhir dagangan, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5337/5361 daripada 2.5440/5469 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding pound British kepada 5.4177/4224 daripada 5.4273/4334.
Unit tempatan juga lebih stabil berbanding euro kepada 4.6993/7034 daripada 4.7205/7257.
Ringgit turut didagangkan tinggi berbanding beberapa mata wang negara ASEAN.
Mata wang domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1302/1330 daripada 3.1441/1478 ketika ditutup pada Khamis, dan lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.8362/8544 daripada 12.8587/8792.
Ringgit lebih kukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 238.0/238.3 daripada 238.9/239.3, dan melonjak berbanding peso Filipina kepada 6.77/6.78 daripada 6.82/6.83.
-- BERNAMA