GEORGE TOWN, 23 Jan (Bernama) -- Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) menjelaskan keputusan supaya muzik di kawasan Thaneer Panthal atau gerai dihias indah dihentikan pada 11 malam 1 Feb semasa sambutan Thaipusam dibuat semata-mata atas faktor keselamatan, susulan insiden kesesakan tahun lepas.
Timbalan Pengerusi LWHPP Dr R. Lingeshwaran berkata arahan itu hanya terpakai pada malam 1 Feb bagi memastikan pembawa kavadi dapat tiba di puncak bukit Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani di Jalan Kebun Bunga, di sini tepat pada masanya untuk upacara Thirukaapu pada 11 malam, dan tidak menandakan berakhirnya sambutan Thaipusam.
“Penting untuk dijelaskan bahawa sambutan Thaipusam tidak berakhir pada 11 malam dan pengendali panthal bebas untuk terus memberikan perkhidmatan kepada penganut Hindu serta melaksanakan tanggungjawab murni mereka sepanjang malam.
“Kami sebenarnya lebih cenderung untuk meneruskan acara itu hingga tengah malam, namun kami tidak boleh mengambil risiko jika nyawa menjadi taruhan. Keselamatan adalah keutamaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata susulan insiden rempuhan tahun lepas, pihak polis pada awalnya mencadangkan muzik dihentikan pada 10 malam, namun selepas perbincangan bersama Jawatankuasa LWHPP, tempoh itu dilanjutkan hingga 11 malam.
Beliau berkata rekod polis menunjukkan lebih satu juta penganut Hindu menghadiri sambutan Thaipusam tahun lepas, yang menyaksikan tujuh individu pengsan akibat kesesakan, sekali gus menjejaskan akses ambulans untuk memberikan bantuan segera.
“Kami menjangkakan jumlah kehadiran yang lebih besar tahun ini berikutan cuti hujung minggu yang panjang dan pengalaman terdahulu menjadi panduan kepada langkah waspada yang diambil hari ini,” katanya.
Dr Lingeshwaran berkata LWHPP akan terus melakukan libat urus dengan pihak berkuasa berkaitan dan sekiranya pengurusan pengunjung serta keselamatan dapat dipenuhi, lembaga itu akan berusaha untuk melanjutkan muzik hingga tengah malam pada sambutan akan datang.
Pengerusi LWHPP RSN Rayer dalam temubual bersama Bernama baru-baru ini berkata antara penambahbaikan utama yang diperkenalkan tahun ini ialah permit khas bagi penganut yang membawa Ratham Kavadi, iaitu kavadi bersaiz besar agar pergerakan lebih terkawal dan tidak menjejaskan keselamatan penganut lain, terutamanya pada waktu puncak malam.
Selain itu, beliau turut mengingatkan pengurusan panthal supaya mematuhi sepenuhnya garis panduan, termasuk hanya memainkan lagu-lagu keagamaan, menghentikan semua muzik pada 11 malam 1 Feb serta mematuhi larangan terhadap muzik hiburan.
Bagaimanapun, peraturan itu telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan penganut Hindu di media sosial, dengan sebahagian daripada mereka menyatakan ketidakpuasan hati terhadap LWHPP.
Lebih sejuta penganut Hindu dan pelancong dijangka hadir di Pulau Pinang bagi sambutan perayaan Thaipusam pada 1 Feb.
-- BERNAMA