SEREMBAN, 24 Jan (Bernama) -- Seorang bapa dan anak lelakinya cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas ke ruang legar sebuah masjid di Senawang di sini malam ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan berkata pihaknya menerima maklumat mengenai insiden melibatkan mangsa yang masing-masing berusia 62 dan 12 tahun itu pada 9.16 malam.
“Kejadian melibatkan sebuah kereta jenis Inokom Atos dipandu warga emas itu yang terbabas ke dalam ruang legar masjid... ketika kejadian, terdapat jemaah masjid yang baharu selesai menunaikan solat.
“Warga emas itu hanya mengalami kecederaan ringan manakala anaknya tidak sedarkan diri, dan telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata operasi melibatkan lapan anggota yang turut dibantu jemaah masjid itu tamat kira-kira sejam kemudian.
-- BERNAMA