JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Rugi RM91,000 Akibat Pelaburan Tidak Wujud Di Kuching

25/01/2026 12:37 PM

KUCHING, 25 Jan (Bernama) -- Seorang wanita tempatan berusia 35 tahun mengalami kerugian RM91,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata berdasarkan laporan pada 11 Jan lepas, mangsa telah ditawarkan satu pelaburan MGM melalui aplikasi Telegram oleh individu tidak dikenali yang menjanjikan keuntungan lumayan.

“Mangsa yang berminat dengan tawaran tersebut kemudiannya diarahkan membuat pindahan wang ke akaun diberikan. Seterusnya, mangsa telah membuat lima transaksi pembayaran ke dalam lima akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM91,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Alexson berkata mangsa menyedari dirinya tertipu apabila gagal mengeluarkan wang pelaburan itu berserta keuntungan dijanjikan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2516515