SUKAN

APG 2025: Syabas Malaysia! Dua Sasaran Tercapai Di Thailand

25/01/2026 09:43 PM

Daripada Farah Najihah Zuraimi

NAKHON RATCHASIMA (Thailand), 25 Jan (Bernama) -- Kontinjen Malaysia menutup kempen Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025 dengan pencapaian membanggakan apabila bukan sahaja merealisasikan sasaran 55 pingat emas, malah turut mencapai sasaran keseluruhan 181 pingat menjelang acara penutup rasmi temasya itu esok.

Pencapaian berganda itu mengesahkan kejayaan misi kontinjen negara di bumi Gajah Putih, hasil prestasi konsisten dan semangat juang atlet yang luar biasa sepanjang temasya dwitahunan tersebut berlangsung.

Sasaran 55 pingat emas negara disahkan oleh atlet para olahraga Wong Kar Gee yang merangkul emas acara lompat jauh lelaki T12, sekali gus mencipta rekod baharu APG dengan lompatan sejauh 6.83 meter.

Sementara itu, sasaran keseluruhan 181 pingat dicapai menerusi atlet tenis kerusi roda Mohamad Yusshazwan Yusuf yang menewaskan wakil tuan rumah Kittiphong Wongcharoen 2-0 dalam aksi final perseorangan lelaki.

Setakat hari terakhir pertandingan, Malaysia mengumpul keseluruhan 201 pingat terdiri daripada 64 emas, 64 perak dan 73 gangsa.

Kejayaan itu mencerminkan keberkesanan perancangan dan pelaksanaan program latihan selain sokongan berterusan pelbagai pihak dalam memastikan atlet para negara tampil dengan prestasi terbaik di pentas serantau. 

Malaysia menerima sumbangan pingat daripada pelbagai sukan termasuk para olahraga, badminton para, renang dan tenpin boling, sekali gus memperlihatkan kekuatan menyeluruh kontinjen negara.

Selain pencapaian pingat, beberapa atlet turut mencipta detik bersejarah dan pencapaian peribadi antaranya atlet para renang Abd Halim Mohammad yang menyumbang lima pingat emas selain memecahkan dua rekod temasya sepanjang saingan berlangsung.

Menjelang acara penutup rasmi esok, kontinjen Malaysia kekal di tangga ketiga keseluruhan, menjadikan prestasi di Nakhon Ratchasima sebagai petanda positif dalam usaha memperkukuh sukan para negara. 

Pencapaian itu juga menjadi asas penting bagi persiapan menghadapi Sukan Komanwel 2026, Sukan Para Asia 2026, APG Malaysia 2027 dan seterusnya Paralimpik Los Angeles 2028.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2516649