KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat melawat Kompleks Smolny, sebuah bangunan bersejarah penting di St Petersburg, Rusia semalam.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ke kompleks yang kini berfungsi sebagai pusat pentadbiran bandar raya St Petersburg itu disambut oleh Gabenor St Petersburg Alexander Beglov.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Negeri St Petersburg Evgeny Dmitrievich Grigoriev.
“Sultan Ibrahim turut berkenan melawat Smolny Bunker, iaitu kubu perlindungan bawah tanah yang terletak di bawah Kompleks Smolny dan dibina pada 1937, dengan diiringi Beglov,” menurut hantaran itu.
Seusai lawatan, Seri Paduka Baginda diraikan dalam satu majlis santapan malam oleh Beglov yang turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai.
Menurut hantaran sama, pada majlis santapan tersebut Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan tayangan video mengenai bandar raya St Petersburg.
Beglov turut menyampaikan taklimat ringkas mengenai St Petersburg yang bukan sahaja menjadi antara destinasi pelancongan utama dunia, malah memiliki hampir 800 jambatan, 94 sungai dan kira-kira 200 muzium.
Seri Paduka Baginda tiba di St Petersburg bagi lawatan khas atas jemputan khas Presiden Rusia Vladimir Putin.
-- BERNAMA