Menjadi impian kebanyakan pasangan berkahwin, terutamanya yang baru mendirikan rumah tangga, untuk memiliki anak sama ada secepat mungkin ataupun pada masa yang sesuai dengan gaya hidup mereka.
Justeru, mereka mengambil langkah merancang kehamilan. Namun, bagi sesetengah individu, usaha untuk hamil mungkin menemukan kegagalan demi kegagalan meskipun kedua-duanya - suami dan isteri - sihat tubuh badan dan mempunyai kadar kesuburan yang tinggi.
Justeru, apakah silap mereka?
Menurut pakar, merancang kehamilan memerlukan persediaan fizikal dan dalaman yang menyeluruh, dan antara aspek paling penting tetapi kerap diambil mudah ialah pemakanan serta pengambilan nutrien harian.
Dalam realiti kehidupan moden hari ini, tabiat pemakanan sihat sering terpinggir. Makanan segera, minuman bergula tinggi dan diet tidak seimbang menjadi pilihan mudah; tanpa disedari tabiat ini berisiko memberi kesan buruk terhadap kesuburan dalam jangka masa panjang.
LANGKAH AWAL
Pakar kesuburan Dr Raihana Ismail berkata pemakanan sihat merupakan langkah awal yang amat penting dalam usaha meningkatkan kesuburan wanita kerana, untuk sistem hormon berfungsi secara optimum ia memerlukan nutrien yang mencukupi.
Beliau berkata pengambilan makanan berkhasiat bukan sahaja membantu menyokong penghasilan hormon reproduktif, malah berperanan mengurangkan tekanan dan keradangan dalam tubuh yang sekiranya berpanjangan boleh menjejaskan peluang untuk hamil.
“Apabila suami atau isteri membudayakan pemakanan seimbang yang merangkumi protein, lemak sihat serta vitamin dan mineral penting, secara tidak langsung berat badan akan menjadi lebih stabil, kitaran haid lebih teratur dan kualiti telur atau sperma yang dihasilkan juga akan meningkat.
“Makanan sihat ini turut membantu mengurangkan tahap stres yang boleh mengganggu keseimbangan hormon dan menyebabkan seseorang wanita itu sukar hamil. Ia juga menyokong tenaga harian yang lebih optimum selain membantu mengekalkan kesihatan rahim dalam jangka masa panjang,” katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, Dr Raihana berkata pemakanan harian yang tidak seimbang boleh memberi kesan langsung terhadap kitaran haid wanita, sekali gus mempengaruhi tahap kesuburan.
“Kekurangan nutrien penting seperti zat besi, protein, asid folik, zink serta lemak sihat boleh menyebabkan haid tidak teratur, masalah ovulasi dan keletihan kronik yang akhirnya menyukarkan proses kehamilan.
“Mereka yang mengambil gula secara berlebihan serta banyak bergantung pada makanan berproses juga berisiko mengalami gangguan hormon akibat rintangan insulin dan keradangan dalam tubuh. Justeru, pengambilan nutrien yang baik amat diperlukan bagi menyokong proses ovulasi dan kesihatan reproduktif secara menyeluruh,” jelasnya, menambah pengambilan air mencukupi juga amat penting.
Tidak kurang pentingnya ialah jadual makan yang teratur serta gaya hidup sihat termasuk tidur berkualiti bagi mengekalkan keseimbangan hormon.
Dr Raihana yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Efferty International Sdn Bhd, iaitu pengeluar makanan tambahan dirumus khusus bagi membantu individu yang sukar hamil, berkata pemakanan dan gaya hidup sihat itu perlu dipupuk lebih awal.
NUTRIEN
Menurut Dr Raihana, wanita yang merancang untuk hamil perlu memastikan tubuh mereka mendapat nutrien yang mencukupi bagi menyokong kesuburan, antaranya protein, zat besi, asid folik, kalsium, vitamin D, omega-3 serta makanan yang kaya dengan antioksidan.
“Protein membantu pembentukan hormon dan sel telur (ovum dan sperma). Zat besi pula menyokong pengaliran oksigen dalam darah manakala asid folik penting untuk kualiti telur.
“Omega-3 turut membantu mengekalkan keseimbangan hormon…makanan yang kaya antioksidan pula melindungi sel daripada kerosakan. Selain itu, kalsium dan vitamin D penting untuk kesihatan hormon dan memastikan rahim yang sihat,” katanya.
Beliau turut menyarankan wanita yang sedang berikhtiar untuk hamil agar mengambil lebih banyak sayur hijau, buah-buahan, bijirin penuh, kekacang, ikan, telur dan daging tanpa lemak.
“Pengambilan minuman berkafein tinggi dan bergas sebaiknya dielakkan kerana ia boleh menjejaskan peluang kehamilan.
“Mengambil makanan tambahan atau yang mengandungi Inositol (gula untuk kegunaan tubuh) dan DHA (asid lemak omega-3) seperti susu Efferty turut menyokong keseimbangan hormon, kitaran haid serta meningkatkan kualiti sperma dan ovum.
“Tidak terkecuali makanan yang mengandungi ‘fibrulose’ (serat pemakanan) serta kultur hidup yang bertujuan menjaga kesihatan usus dan membantu penyerapan nutrien bagi untuk kesihatan wanita,” tambahnya.
Dr Raihana turut mengingatkan wanita agar tidak mengamalkan diet ekstrem yang boleh mengganggu kesuburan mereka.
Mengamalkan diet yang tidak sihat boleh menyebabkan kitaran haid menjadi tidak teratur, sekali gus meningkatkan risiko wanita mengalami PCOS (sindrom ovarium polikistik).
“Bagi lelaki pula, diet tidak sihat cenderung menurunkan kualiti dan kuantiti sperma, dan kesannya, menjejaskan kesuburan serta peluang untuk pasangan hamil.
“Sebaliknya, diet seimbang membantu meningkatkan kesihatan sperma dan pergerakan sperma yang baik dan seterusnya menyokong proses kehamilan pasangan,’’ katanya.
PENYELIDIKAN
Dalam pada itu, Dr Raihan berkata pihaknya sedang menjalinkan kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi menjalankan penyelidikan komprehensif berkaitan kehamilan, dengan fokus utama terhadap kesihatan ibu, perkembangan bayi serta gaya hidup yang sesuai sepanjang tempoh kehamilan.
Penyelidikan itu bertujuan memahami secara mendalam faktor-faktor yang memberi kesan positif dan negatif kepada ibu mengandung serta bayi dalam kandungan.
Beliau berkata hasil dapatan kajian itu akan menjadi asas kepada pembangunan produk sokongan untuk ibu hamil, termasuk suplemen dan produk kesihatan yang selamat serta berkesan.
‘’Setiap produk yang dirancang oleh Efferty akan dibangunkan berdasarkan bukti penyelidikan saintifik dan keperluan sebenar ibu mengandung, sekali gus memastikan keberkesanan dan keselamatan penggunaannya.
‘’Untuk itu UMPSA dipilih sebagai rakan penyelidikan kerana kekuatan institusi tersebut dalam bidang sains kesihatan dan teknologi perubatan. Dengan kepakaran akademik, pasukan penyelidik berpengalaman, kemudahan makmal yang lengkap serta rekod pencapaian dalam projek inovatif, UMPSA berupaya menjadi rakan strategik yang mampu memberi impak terhadap penyelidikan ini.
‘’Kerjasama ini turut menggabungkan kepakaran klinikal dan pengalaman praktikal dengan kapasiti penyelidikan akademik, selain memanfaatkan rangkaian kerjasama luas yang dimiliki UMPSA dalam akses kepada data, teknologi dan pendekatan terkini inovasi kesihatan,’’ katanya.
Jelasnya, kumpulan sasaran kajian itu merangkumi wanita dalam lingkungan umur reproduktif yang berpotensi hamil, pasangan mereka serta ibu hamil.
Ia secara tidak langsung membolehkan penyelidik memahami dengan lebih tepat pola kesihatan, cabaran dan keperluan berkaitan persediaan kehamilan, penjagaan semasa hamil dan kesejahteraan keluarga.
‘’Dapatan kajian ini diharap dapat membantu merangka intervensi kesihatan yang lebih relevan dan praktikal, selari dengan matlamat Efferty untuk meningkatkan kesejahteraan kesihatan reproduktif masyarakat secara menyeluruh,’’ tambah Dr Raihana.
RAWATAN SUKAR HAMIL
Sementara itu, Dr Raihana menasihatkan wanita agar mendapatkan rundingan pakar kesuburan sekiranya menghadapi kesukaran untuk hamil meskipun telah menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Beliau berkata pakar kesuburan akan menilai pelbagai faktor termasuk hormon, saluran tiub fallopio dan kualiti telur sebelum memberikan rawatan atau panduan yang sesuai untuk meningkatkan peluang kehamilan secara selamat dan berkesan.
“Ingin saya tegaskan, mana-mana wanita yang mempunyai rahim tetap berpeluang untuk hamil termasuk mereka yang telah lama berkahwin namun tidak mempunyai zuriat…mereka ini masih boleh hamil jika mempunyai ovulasi normal, iaitu tubuh berada dalam keadaan hormon yang seimbang dan sistem pembiakan berfungsi dengan baik.
“Cuma kemungkinan faktor umur, hormon, gaya hidup, stres atau masalah kesihatan lain, boleh memperlahankan sedikit peluang tu. Jadi, jangan putus asa, kerana ketika ini kita juga ada pelbagai cara untuk tingkatkan peluang hamil,’’ katanya.
Menurutnya, wanita yang tidak dapat mengandung secara semula jadi berpeluang untuk bergelar ibu menerusi rawatan moden, termasuk rawatan kesuburan seperti induksi ovulasi, inseminasi intrauterin (IUI) dan persenyawaan in vitro (IVF).
Beliau berkata pemilihan rawatan yang sesuai bergantung pada punca ketidaksuburan, usia wanita, tahap kesihatan serta tahap kesuburan pasangan.
Menerusi bimbingan pakar kesuburan dan pemantauan, rawatan moden itu bukan sahaja meningkatkan peluang kehamilan, malah dapat dilakukan secara selamat dan berkesan mengikut keperluan individu.
Dr Raihana turut menasihatkan wanita agar tidak berada dalam tekanan yang berpanjangan kerana keadaan itu boleh mengganggu keseimbangan hormon dalam tubuh, sekali gus menjejaskan ovulasi dan kitaran haid
Katanya, dalam sesetengah keadaan, tekanan juga akan menyebabkan keletihan melampau, gangguan tidur dan emosi yang tidak stabil sehingga menyukarkan kehamilan berlaku.
“Bagi wanita yang sedang berikhtiar untuk hamil, mesej paling penting yang sering ditekankan oleh pakar adalah jangan terlalu menekan diri sendiri. Keinginan untuk hamil adalah fitrah, namun tekanan dan kebimbangan yang berlebihan boleh memberi kesan negatif bukan sahaja kepada kesihatan emosi, malah turut mempengaruhi kesihatan fizikal dan kesuburan.
“Justeru, pengurusan tekanan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha untuk hamil dan bukanlah sesuatu yang boleh diabaikan,’’ katanya.
-- BERNAMA