JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Bebas Pertuduhan Abai Kanak-kanak Lelaki

26/01/2026 03:31 PM

IPOH, 26 Jan (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang wanita daripada pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, pada 2023.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membuat keputusan itu terhadap Norriza Khamis, 48, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes tersebut. 

“Oleh yang demikian tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan. Wang jaminan dikembalikan,” katanya.

Norriza didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak berusia tiga tahun telah meninggalkan kanak-kanak itu tanpa persediaan pengawasan dan pemeliharaan yang munasabah di sebuah rumah di Taman Putra Permai 2 di sini pada 24 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.S. Vitthiyeswary manakala wanita itu diwakili peguam Mohamad Khazali Yin dan Mahinderjit Singh.

Perbicaraan dari 19 Mac hingga 17 Dis 2025 melibatkan lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk Norriza.

Sementara itu, semasa ditemui Norriza memberitahu sangat bersyukur dan berasa lega dengan keputusan tersebut.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2516885