EKONOMI

MATRADE Ketuai 120 Syarikat F&B Malaysia Sertai Pameran Gulfood 2026 Di Dubai

26/01/2026 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengetuai lebih 120 syarikat makanan dan minuman (F&B) Malaysia menyertai pameran Gulfood 2026 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berlangsung dari 26-30 Jan.

MATRADE menerusi satu kenyataan berkata ini merupakan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengembangkan eksport makanan diproses Malaysia dan mengukuhkan hubungan perdagangan dengan negara-negara Timur Tengah.

Gulfood 2026 adalah pameran perdagangan makanan dan minuman tahunan terbesar di dunia, yang diadakan Dubai World Trade Centre (DWTC) dan Dubai Exhibition Centre (DEC). 

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata penyertaan Malaysia dalam edisi ke-22 Gulfood 2026 merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh hubungan perdagangan negara dengan negara-negara Timur Tengah, selaras dengan inisiatif kepelbagaian pasaran agensi itu.

“Selain mempamerkan produk, misi ini bertujuan untuk menonjolkan keupayaan Malaysia sebagai “Penyedia Penyelesaian Menyeluruh” dalam rantaian bekalan F&B global.

“Menerusi gabungan integriti standard halal terbaik dengan teknologi canggih makanan dan tumpuan kepada kemampanan, jenama Malaysia akan dapat memastikan ia kekal menjadi pilihan utama rakan penyumberan yang mengutamakan kualiti, inovasi dan kebolehpercayaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pavilion Malaysia akan mempamerkan fasa baharu penawaran F&B, memberi tumpuan kepada inovasi yang mementingkan kesihatan dan membawa manfaat yang besar.

"Penyertaan tahun ini mengetengahkan penambahbaikan strategik daripada eksport komoditi kepada penyelesaian makanan diproses hiliran bernilai tinggi," kata MATRADE.

Menurutnya, lebih 70 syarikat Malaysia yang mengambil bahagian menumpu kepada kepada produk sos dan pes, manakala hampir 50 syarikat mengkhususkan dalam produk makanan sedia untuk dimakan (RTE), menunjukkan permintaan yang semakin meningkat terhadap pilihan makanan mudah di pasaran Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Produk ini menggunakan teknologi retort dan pembekuan canggih untuk membawakan pengalaman merasai masakan asli Asia sebenar yang boleh dimasak dengan mudah dan segera, ke pasaran Timur Tengah,” kata MATRADE.

Selain itu, sejajar dengan agenda kesihatan negara GCC, Pavilion Malaysia akan menampilkan segmen khusus  “Better-for-You” (BFY) yang akan menyaksikan lebih 40 pempamer mempamerkan produk organik, organisma yang tidak diubah suai secara genetik, bebas gluten dan berasaskan tumbuhan.

“Daripada produk minuman kesihatan berasaskan herba kepada snek rendah glisemik, Malaysia sedang merangka semula standard halal yang bukan sekadar patuh syariah tetapi juga merangkumi aspek kesihatan secara holistik dann keselamatan makanan,” kata MATRADE.

Menurutnya, perdagangan makanan diproses Malaysia dengan rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) terus mencatatkan peningkatan pada 2025, mencecah paras tertinggi RM2.52 bilion, melonjak sebanyak 4.2 peratus.

“Eksport pada tahun yang sama berjumlah RM2.42 bilion manakala import sebanyak RM0.1 bilion.

"Dengan UAE berfungsi sebagai pintu masuk strategik, MATRADE menjangkakan Gulfood 2026 akan menjana jualan eksport yang ketara dan perusahaan kecil dan sederhana Malaysia dapat menjalin perkongsian strategik jangka panjang dengan pengedar global," katanya.

Pertanyaan mengenai Pavilion Malaysia di Gulfood 2026 atau sesi pertemuan dengan pempamer Malaysia boleh dikemukakan menerusi dubai@matrade.gov.my.

-- BERNAMA 

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2516922