AM

PKPS Lancar SEED2023, Teraju Agenda Sekuriti Makanan Selangor

26/01/2026 04:37 PM

SHAH ALAM, 26 Jan (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melancarkan Pelan Transformasi Agribisnes 2026-2030 (SEED2030), sebuah pelan hala tuju strategik lima tahun dalam memperkukuh peranan PKPS sebagai peneraju agenda sekuriti makanan Selangor. 

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata SEED2030 menyasarkan peningkatan dalam pengeluaran dan pemerkasaan ekosistem pertanian negeri antaranya membabitkan kelapa sawit, ayam daging, susu, Selangor Fruit Valley (SFV) serta Produk Ehsan. 

Beliau berkata pelan transformasi itu akan dilaksanakan menerusi penguasaan rantaian bekalan, pembangunan mampan dan pemberdayaan masyarakat dalam memastikan pelan itu berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan. 

“SEED2030 menyasarkan peningkatan hingga 64.95 peratus pengeluaran kelapa sawit sebanyak 735,000 tan metrik berbanding kira-kira 445,000 tan metrik pada penggal sebelum ini, iaitu 2021-2025, dan dalam sektor ternakan ayam pula kita sasarkan hingga 20.1 juta ekor ayam berbanding 6.31 juta dalam tempoh sama.  

“Ehsan Dairy Farm ialah projek lembu tenusu yang kita akan mula lancarkan secara rasmi operasinya pada Mac nanti di Bukit Tagar, iaitu pencapaian hingga 32,850 liter sehari dan juga SFV, peningkatan hingga 22 peratus, iaitu 500,000 pengunjung daripada 400,000 orang,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan SEED2030 di Wisma PKPS, di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi. 

Amirudin berkata bagi Produk Ehsan pula, PKPS menyasarkan untuk menembusi pasaran Timur Tengah dan Eropah menjelang 2030 dengan penambahan sebanyak 98 produk berbanding dua produk, iaitu minyak biji kapas dan minyak bunga matahari yang telah berjaya menembusi pasaran Australia. 

Beliau turut menjangkakan PKPS menjana pendapatan mencecah RM400 hingga RM500 juta setahun berbanding prestasi kini yang berada kira-kira RM200 juta setahun dengan mengambil kira faktor semasa seperti keadaan pasaran yang mampu menyebabkan harga barangan berubah-ubah. 

“Saya yakin dengan perkara yang saya sebutkan di sini kita tidak boleh bertindak secara reaksioner dan kita kena bergerak menjadi sebuah entiti yang mempunyai rencana yang tersusun,” katanya. 

Sementara itu, Mohamad Khairil berkata SEED2030 akan dilaksanakan berdasarkan lima teras strategik, iaitu Pengukuhan dan Kelestarian Organisasi, Peningkatan Produktiviti dan Hasil, Inovasi Pertanian dan Pendigitalan, Pembangunan Ekosistem Agropreneur serta Ehsan Go Global. 

Beliau berkata teras berkenaan akan dilaksanakan melalui sinergi kukuh antara empat anak syarikat utama PKPS, sekali gus membolehkan kawalan menyeluruh daripada peringkat pengeluaran dan pemprosesan sehingga pengedaran, peruncitan dan logistik. 

“Penggunaan automasi, analitik data serta sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) dijangka meningkatkan produktiviti, mengurangkan pembaziran dan memperkukuh keselamatan makanan di sepanjang rantaian nilai,” katanya. 

Mohamad Khairil berkata SEED2030 dirangka selaras dengan Dasar Agromakanan Negara serta Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang menekankan tiga prinsip utama, iaitu keterjaminan bekalan makanan, kelestarian sistem agromakanan, dan kesejahteraan rakyat.

“Perkara yang digariskan pada peringkat nasional, PKPS pikul sebagai tanggungjawab pelaksanaan bagi peringkat negeri. Di sinilah Selangor memainkan peranannya bukan sekadar sebagai penyumbang ekonomi, tetapi juga sebagai model pelaksanaan sekuriti makanan berasaskan wilayah,” katanya. 

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2516924