EKONOMI

Malton Teroka Sektor Motosikal Elektrik Melalui Perkongsian Dengan Dongguan Benling

26/01/2026 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Malton Bhd telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Dongguan Benling Vehicle Technology Co Ltd (BENLG) dari China untuk menerokai penubuhan kilang pemasangan tempatan dan sistem pengedaran motosikal elektrik di Malaysia.

Pemaju hartanah itu berkata kerjasama tersebut menandakan pengembangan syarikat itu ke dalam ruang mobiliti mesra alam bagi memanfaatkan peralihan pesat dalam landskap pengangkutan bandar Malaysia.

"Melalui kerjasama ini, BENLG sedang berusaha untuk mewujudkan hab pemasangan di Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran motosikal elektrik ASEAN yang lebih luas. Malton, sebaliknya, sedang meneroka usaha ini sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian berterusannya ke dalam industri sedia masa hadapan, terutamanya yang sejajar dengan dasar pembangunan negara dalam perindustrian, elektrifikasi, dan pengangkutan mampan," katanya melalui satu kenyataan.

Malton berkata di bawah terma MoU yang bertempoh selama sembilan bulan itu, kedua-dua pihak akan memulakan kajian kemungkinan bersama untuk menentukan daya maju komersial kemudahan pemasangan tempatan. "Proses ini akan melibatkan analisis menyeluruh permintaan pasaran di Malaysia dan rantau Asia Tenggara yang lebih meluas, di samping pengenalpastian tapak industri strategik yang sesuai bagi pemasangan motosikal EV untuk kegunaan domestik dan eksport," katanya lagi.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2517018