KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KLGG) menganjurkan KLGG Teddy Bear Party 2026 yang menghimpunkan 2,000 ahli daripada semua peringkat umur dari sekolah di sekitar Kuala Lumpur yang meraikan persahabatan, perpaduan dan persaudaraan global.
KLGG dalam kenyataan hari ini memaklumkan sambutan yang dianjurkan dalam dua sesi itu menandakan ulang tahun ke-100 Hari Peringatan Sedunia Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) dan Ulang Tahun ke-110 Pandu Puteri Kuala Lumpur.
Acara itu menghimpunkan Pandu Puteri, Renjer, Clover, ahli Guild, Brownies dan Fireflies bersama-sama pesuruhjaya, ahli majlis eksekutif serta tetamu jemputan yang mencerminkan jangkauan global WAGGGS yang merangkumi 11.2 juta ahli di seluruh dunia.
Hadir sama ialah Yang Dipertua KLGG yang juga Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Datuk Yeoh Soo Keng, Penaung KLGG Beh Suat Pheng, wakil Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan tetamu antarabangsa.
Upacara pembukaan antara lain menampilkan perarakan masuk bendera, nyanyian Negaraku dan Pembaharuan Ikrar Pandu Puteri yang dipimpin Pandu Puteri Raja 2025 Kashwini Eswaran Dinesh, melambangkan perpaduan merentasi generasi dan budaya.
Yeoh dalam ucapannya menekankan pengajaran penting daripada persahabatan yang melangkaui kebaikan kepada solidariti sejagat, kepercayaan dan keberanian untuk berdiri sebagai satu gerakan tanpa dipisahkan oleh jarak geografi.
“Ketika kita merenung 100 tahun tradisi ini, kita diingatkan bahawa tiada seorang daripada kita bersendirian. Setiap unggun api yang dikongsi, setiap lencana yang diperoleh dan setiap cabaran yang dihadapi bersama-sama menguatkan ikatan yang menyatukan kita sebagai sebuah pergerakan.
“Persahabatan membentuk siapa diri kita dan memberi kekuatan untuk mencipta perubahan dalam komuniti dan seterusnya,” katanya.
Antara pengisian acara itu ialah Kuiz Hari Peringatan Sedunia, Pertandingan Ikatan Persahabatan, Pertandingan Lagu Tindakan dan Sorakan serta aktiviti Teddy Bear Party, sebelum diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah.
-- BERNAMA