Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini, didorong oleh jangkaan pengeluaran lebih rendah dalam beberapa minggu akan datang, kata seorang pedagang.
Pedagang proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata anggaran eksport yang kukuh juga menyokong harga, kerana ia boleh menyebabkan paras bekalan keseluruhan yang lebih rendah di negara ini.
“Kami melihat paras sokongan melebihi RM4,180 dan paras rintangan pada RM4,300 setan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata peningkatan yang tinggi dalam niaga hadapan berkaitan minyak sayuran dan sentimen positif mengekalkan momentum belian dalam niaga hadapan MSM.
“Bagaimanapun, pengukuhan ringgit, yang meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun berbanding dolar Amerika Syarikat, mengurangkan kenaikan dalam niaga hadapan MSM,” katanya.
Pada penutup dagangan, kontrak Februari 2026 meningkat RM44 kepada RM4,172 setan, Mac 2026 menokok RM51 kepada RM4,215 setan, dan April 2026 mengukuh RM50 kepada RM4,225 setan.
Kontrak Mei 2026 meningkat RM44 kepada RM4,216 setan, Jun 2026 menambah RM34 kepada RM4,195 setan, manakala Julai 2026 naik RM26 kepada RM4,175 setan.
Jumlah dagangan melonjak kepada 78,794 lot daripada 70,725 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 225,251 kontrak daripada 228,950 sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan meningkat RM40 kepada RM4,180 setan.
-- BERNAMA