AM

KKM Perkukuh Saringan Di Pintu Masuk Antarabangsa Susulan wabak Nipah Di India

28/01/2026 09:25 AM

PUTRAJAYA, 28 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) terus memperkukuh kesiapsiagaan melalui saringan kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa, khususnya melibatkan pengembara dari negara berisiko ekoran situasi wabak penyakit Nipah di West Bengal, India.

Menurut KKM dalam kenyataan hari ini, pengawasan berterusan akan dipertingkatkan, termasuk pemantauan rapi di lapangan serta pengukuhan kapasiti makmal negara bagi memastikan pengesanan awal dapat dilaksanakan.

Kesiapsiagaan fasiliti kesihatan turut dipertingkatkan selaras dengan pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan, merangkumi amalan pencegahan dan kawalan infeksi (IPC) serta kerjasama rentas sektor dan antara agensi akan terus diperkukuh bagi melindungi kesihatan awam serta mencegah sebarang risiko kemunculan semula penyakit Nipah di negara ini.

"Walaupun Malaysia tidak melaporkan sebarang kes penyakit Nipah sejak 1999, KKM kekal berwaspada terhadap risiko penularan rentas sempadan susulan kejadian jangkitan secara sporadik di beberapa negara lain," menurut kenyataan itu.

Selain itu, pemantauan berterusan juga dipertingkatkan melalui kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia melalui pendekatan One Health.

"Setakat ini, tiada virus Nipah dikesan dalam kalangan haiwan domestik atau liar," menurut kenyataan itu.

Orang awam khususnya pengembara ke kawasan berisiko tinggi dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri, mengelakkan sentuhan dengan haiwan yang sakit atau pengambilan produk yang disyaki tercemar.

"Pengembara dari kawasan yang berisiko dinasihatkan untuk memantau status kesihatan kendiri dan segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya tidak sihat," menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, penyakit Nipah wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Tiada kes baharu penyakit Nipah dilaporkan di Malaysia sehingga kini susulan kejayaan membendung wabak penyakit berkenaan sejak September 1999.

Penyakit Nipah ialah penyakit berjangkit zoonotik yang disebabkan oleh virus Nipah (NiV) dengan keluang (flying foxes/ fruit bats) sebagai perumah semula jadi (natural reservoir).

Menurut KKM, jangkitan kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan cecair badan haiwan yang dijangkiti seperti air liur, darah, dan rembesan, pengambilan makanan yang telah tercemar, dan kontak dengan cecair badan individu yang dijangkiti.

Gejala seperti demam, sakit kepala, muntah, batuk, susah bernafas, sawan, kekeliruan, dan kebingungan lazimnya muncul selepas tempoh pengeraman antara lima hingga ke 14 hari.

"Komplikasi penyakit ini termasuk radang otak (encephalitis) dan masalah pernafasan dengan kadar kematian antara 40 hingga 75 peratus," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2517584