SEREMBAN, 29 Jan (Bernama) -- Pengoperasian Bazar Aidilfitri di Dataran Senawang akan dilanjutkan bermula 9 malam sehingga 2 pagi, selepas mengambil kira rungutan peniaga mengenai tempoh operasi sebelum ini yang dihadkan sehingga 12 tengah malam.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Datuk Masri Baharuddin, berkata bagi Bazar Ramadan Senawang, waktu operasi pula ditetapkan bermula 4 petang sehingga waktu berbuka puasa.
“Saya berharap lanjutan masa operasi perniagaan ini dapat memberi kelegaan kepada semua peniaga dan pengunjung di bazar tersebut demi kesejahteraan bersama,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menyarankan MBS mengkaji semula waktu operasi Bazar Aidilfitri Dataran Senawang yang bermula 6 petang sehingga 12 tengah malam, bagi memastikan keselesaan semua pihak serta memberi ruang kepada orang ramai menunaikan ibadah sepanjang Ramadan.
Kehadiran pengunjung ke bazar di Dataran Senawang bukan sahaja melibatkan penduduk setempat, malah turut menarik pengunjung dari daerah lain termasuk dari negeri jiran.
Dalam pada itu, Masri berkata MBS juga mengambil alih sepenuhnya pengurusan Bazar Aidilfitri di Dataran Senawang selepas pihaknya membatalkan pelantikan lima penganjur di bazar tersebut yang didapati gagal memenuhi syarat ditetapkan.
“Pelantikan lima penganjur yang sebelum ini menguruskan Bazar Senawang dibatalkan kerana mereka gagal mematuhi syarat yang ditetapkan serta dilihat cuba menekan peniaga dengan mengenakan syarat melampau.
“Selepas ini, Bazar Aidilfitri di Dataran Senawang akan diuruskan sepenuhnya oleh MBS bagi memudahkan semua pihak, terutamanya para peniaga, untuk terus berurusan tanpa melalui penganjur,” katanya.
Masri turut berkata mana-mana penganjur yang telah mengambil bayaran daripada peniaga sebelum ini diharap memulangkan semula wang berkenaan sepenuhnya tanpa sebarang potongan.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai ketidakpuasan hati peniaga terhadap beberapa syarat yang dikenakan penganjur, termasuk caj denda sehingga RM350 sejam sekiranya berniaga melebihi tempoh ditetapkan.
-- BERNAMA