AM

Projek Ladang Solar KLIA Aeropolis Perkukuh Peralihan Tenaga Negara - Fadillah

29/01/2026 01:35 PM

SEPANG, 29 Jan (Bernama) -- Projek Ladang Solar Fotovoltaik dan Sistem Penstoran Tenaga Bateri (BESS) di KLIA Aeropolis bagi kegunaan khusus Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merupakan langkah penting dalam memastikan peralihan tenaga negara dilaksanakan secara praktikal, stabil dan berskala besar.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata inisiatif itu turut menyokong sasaran Malaysia untuk mencapai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050.

Beliau berkata sebagai hab pengangkutan utama negara dan pintu masuk ekonomi Malaysia, KLIA merupakan infrastruktur kritikal yang memerlukan bekalan tenaga yang stabil, selamat dan berkualiti tinggi bagi memastikan kelangsungan operasi berskala besar.

“Apabila siap sepenuhnya, projek ini dijangka menjana kira-kira 46 gigawatt-jam (GWj) tenaga elektrik hijau setahun untuk kegunaan KLIA.

“Dari segi impak alam sekitar, projek ini diunjurkan dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sekitar 35,000 tan setahun, bersamaan pengurangan kira-kira 8,000 kenderaan di jalan raya,” katanya pada majlis perasmian Ladang Solar dan BESS, di sini hari ini.

Fadillah berkata inisiatif itu turut menjadikan KLIA sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa yang lebih kompetitif untuk mencapai kedudukan yang baik di dalam Akreditasi Karbon Lapangan Terbang (ACA).

Beliau berkata pelaksanaan projek di KLIA Aeropolis wajar dilihat sebagai projek strategik yang menyokong aspirasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk mencapai sasaran campuran tenaga boleh baharu sebanyak 20 peratus menjelang 2030 dan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, selari dengan Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sifar Bersih MAHB.

“Projek ini menggambarkan pendekatan baharu dalam sektor tenaga, daripada sekadar menambah kapasiti penjanaan kepada pembinaan sistem tenaga yang lebih fleksibel, pintar dan berdaya tahan,” katanya.

Fadillah berkata beliau mengambil maklum bahawa sebuah syarikat tujuan khas (Special Purpose Vehicle – SPV), iaitu Cenergi Aeropolis Renewable Energy Sdn Bhd (CARE), telah ditubuhkan menerusi kerjasama strategik antara MAHB dan Cenergi SEA bagi mengurus pelaksanaan projek itu secara lebih tersusun dan berfokus.

Beliau berkata tenaga solar merupakan sumber tenaga bersih dan kompetitif, namun sifatnya yang intermiten bergantung kepada cuaca dan masa.

Sehubungan itu, beliau berkata dalam konteks pengurusan sistem pembekalan elektrik negara, komponen yang mampu meningkatkan kebolehpercayaan dan fleksibiliti sistem amat diperlukan.

“Di sinilah peranan BESS menjadi pemangkin perubahan. Dengan adanya sistem penstoran tenaga, lebihan tenaga solar pada waktu siang dapat disimpan dan digunakan semasa waktu permintaan puncak, sekali gus membolehkan operasi beban KLIA diurus dengan lebih cekap bagi mengurangkan permintaan puncak yang memberi kesan kepada kos melalui caj rangkaian dan kapasiti,” katanya.

Fadillah berkata projek seumpama itu membantu kementerian serta agensi pelaksana mempercepat peralihan landskap tenaga negara ke arah sistem grid yang lebih stabil, pengurusan permintaan dan tenaga yang lebih pintar, serta integrasi lebih tinggi sumber tenaga boleh baharu tanpa menjejaskan keselamatan tenaga.

Beliau menegaskan peralihan tenaga negara mesti dilaksanakan seiring dengan keperluan kebolehpercayaan pembekalan elektrik, kecekapan kos dan daya saing ekonomi Malaysia.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2518120