KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Polis berjaya membongkar taktik sindiket pengedaran dadah yang menjadikan rumah inap desa sebagai pusat penyimpanan bahan itu sebelum mengedarkannya ke pasaran tempatan dalam serbuan di sebuah rumah teres di Segambut di sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata empat lelaki berusia 23 hingga 32 tahun turut ditahan dalam serbuan berkenaan dan 250 bungkusan plastik teh berisi dadah disyaki jenis syabu seberat 261 kilogram dianggarkan bernilai RM13 juta dirampas.
“Siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak enam bulan lepas dan modus operandi mereka adalah menyewa rumah inap desa selama empat hari untuk menyimpan bungkusan dadah berkenaan sebelum diedar.
“Rumah inap dibayar pada kadar RM200 sehari dan sindiket akan berpindah dari satu rumah ke rumah lain bagi mengelak aktiviti mereka dikesan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata setiap bungkusan plastik teh mengandungi kira-kira satu kilogram syabu dianggarkan bernilai RM50,000, dengan kesemua dadah itu jika terlepas ke pasaran mampu membekalkan kepada 1.3 juta orang.
Fadil berkata polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vellfire dan Perodua Alza yang menggunakan nombor pendaftaran palsu serta sejumlah wang tunai dengan jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan RM100,000.
Semakan mendapati tiga daripada empat lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua mereka direman hingga 3 Feb ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis sedang giat mengesan saki-baki ahli sindiket dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
-- BERNAMA