PHNOM PENH, 29 Jan (Bernama) -- Lebih 30 rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan dalam talian telah diselamatkan dan dihantar pulang ke tanah air pada bulan ini ketika Kemboja meneruskan usaha membanteras sindiket penipuan di seluruh negara itu.
Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dengan kerjasama Jabatan Am Imigresen Kemboja, telah menghantar pulang 29 warganegara Malaysia, menurut kedutaan dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook miliknya hari ini.
Awal bulan ini, dua rakyat Malaysia yang disyaki dipaksa terlibat dalam jenayah siber turut dihantar pulang selepas mereka melarikan diri dari pusat penipuan itu.
Kesemua mereka dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pengambilan pekerja dalam talian yang memperdaya mereka untuk bekerja di pusat penipuan di Kemboja.
Pihak berkuasa keselamatan Kemboja terus memperhebat operasi membanteras penipuan dalam talian dan operasi perjudian dalam talian yang telah memperdaya ribuan pencari kerja muda dari negara-negara Asia Tenggara dan Asia Selatan.
Ratusan pusat penipuan yang dikendalikan sindiket jenayah antarabangsa dan terlibat memperdaya mangsa tidak bersalah di luar negara telah ditumpaskan menerusi operasi keselamatan yang sedang dijalankan sejak tahun lalu.
Minggu ini, lebih 2,000 warganegara Indonesia yang menjadi mangsa tawaran pekerjaan palsu telah mendapatkan bantuan kedutaan mereka di Phnom Penh selepas melarikan diri daripada premis berkaitan kegiatan penipuan.
Media tempatan, memetik Jabatan Am Imigresen, melaporkan bahawa lebih 13,000 mangsa dari lebih 60 negara, yang disyaki terlibat dalam penipuan siber, telah diusir pulang tahun lalu.
-- BERNAMA