JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Tahan KP, Timbalan KP Jabatan Alam Sekitar Bantu Siasatan Kes e-Waste

29/01/2026 07:57 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membantu siasatan kes berkaitan pengurusan sisa buangan elekrik dan elektronik (e-waste).

Sumber SPRM memaklumkan kedua-duanya ditahan pada 6.30 petang selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

“Siasatan dijalankan bagi meneliti dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan sisa elektronik (e-waste) yang dipercayai berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini,” menurut sumber.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dan profesional mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau berkata SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam perbuatan rasuah, tanpa mengira kedudukan atau jawatan.

Kes disiasat di bawah peruntukan Akta SPRM 2009 dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2518348