JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Sarawak Rampas Mercun Dan Bunga Api Bernilai RM2.2 Juta

29/01/2026 10:04 PM

 KUCHING, 29 Jan (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas mercun dan bunga api tanpa permit bernilai RM2.2 juta menerusi Ops Taring Charlie yang dijalankan di empat lokasi berasingan dari Isnin hingga semalam.

Komander Briged Sarawak SAC Lim Bak Phai berkata dalam serbuan di Kuching, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun bersama rampasan mercun dan bunga api bernilai RM159,448.

Beliau berkata di Lubok Antu pula, seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun ditahan dengan rampasan sebanyak 5,676 unit mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM371,700.

“Di Bintulu, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun turut ditahan bersama rampasan 8,778 unit mercun dan bunga api serta sebuah kenderaan, dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1,572,135,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Lim berkata di Sibu pula, seorang lagi lelaki tempatan berusia 49 tahun ditahan bersama rampasan mercun dan bunga api bernilai RM107,262.

Beliau berkata kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masing-masing dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2518377