AM

Pedati Emas Dahului Perarakan Thaipusam Di Pulau Pinang Esok, Tiada Perubahan Aturan

30/01/2026 06:17 PM

GEORGE TOWN, 30 Jan (Bernama) -- Perarakan pedati emas sempena perayaan Thaipusam tahun ini akan terus mendahului pedati perak, selaras dengan tradisi dan tiada sebarang perubahan seperti didakwa beberapa pihak sebelum ini.

Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) RSN Rayer berkata pedati emas akan bertolak dari Kuil Sri Mahamariamman,Lebuh Queen kira-kira 5.30 pagi esok, dikuti pedati perak dari Kuil Nattukotai Chettiar, L ebuh Penang, sejam kemudian

.Kedua-dua perarakan pedati dijangka tiba di Kuil Air Terjun pada awal pagi Ahad, sempena sambutan Thaipusam yang diraikan Ahad ini.

Pedati emas dijangka bergerak kembali 6 petang Isnin dari Kuil Air Terjun ke Lebuh Queen melibatkan perarakan sejauh 9.1 kilometer (km), manakala pedati perak akan bergerak pada pukul 7 malam hari sama ke Lebuh Penang sejauh 8.7 km.

“Tiada sebarang perubahan terhadap aturan pergerakan pedati. Kami juga bekerjasama baik dengan pemegang amanah pedati perak bagi memastikan keseluruhan perarakan berjalan lancar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan beberapa pihak yang menyatakan pedati perak akan bergerak terlebih dahulu sebelum diikuti pedati emas.

Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong berkata pergerakan pedati emas boleh dipantau secara langsung melalui aplikasi web penjejak Pantau 3.0 menggunakan platform GPS, sebagai sebahagian usaha meningkatkan kawalan orang ramai, pengurusan trafik dan keselamatan awam.

Katanya aplikasi yang dinaik taraf itu membolehkan penganut Hindu dan orang ramai memantau perjalanan pedati emas  secara masa nyata sepanjang laluan perarakan, selain membolehkan penjejakan geospatial yang tepat di keseluruhan laluan.

"Pantau dibangunkan di bawah Inisiatif Pendigitalan Pulau Pinang dan mula diperkenalkan sempena Thaipusam pada 2024, dengan merekodkan lebih 17,000 pengguna.

Äplikasi itu dan diperluaskan tahun lepas dengan menarik seramai 37,000 pengguna, selain menambah ciri baharu seperti maklumat penutupan jalan, kemas kini perayaan dan lokasi tumpuan,” katanya

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2518702