Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat apabila mengalami tekanan daripada permintaan baharu terhadap dolar berikutan spekulasi mengenai kepimpinan masa depan Rizab Persekutuan AS (Fed).
Pada 6 petang, ringgit turun kepada 3.9440/9500 berbanding dolar AS daripada 3.9275/9315 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS meningkat apabila pelabur menilai semula jangkaan terhadap kadar faedah AS susulan laporan memaklumkan bahawa bekas Gabenor Fed, Kevin Warsh, disebut-sebut sebagai calon berpotensi bagi jawatan Pengerusi Fed.
“Warsh, yang berkhidmat di Fed dari 2006 hingga 2011, dikenali sebagai penyokong dasar monetari yang ketat, menyebabkan pasaran menjangkakan pendirian yang lebih berhati-hati terhadap pengurangan kadar faedah sekiranya beliau memegang jawatan itu,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata pasaran dilihat percaya Pengerusi Fed yang baharu mungkin tidak akan serta-merta bersetuju dengan desakan White House bagi pengurangan kadar faedah yang ketara, memandangkan mandat sekian lama bank pusat itu adalah memastikan kestabilan harga dan guna tenaga maksimum.
“Sesiapa sahaja yang memegang jawatan Pengerusi Fed akan terus mengikut rangka dasar yang sama, kerana objektif itu termaktub dalam undang-undang manakala langkah mengekalkan kredibiliti institusi kekal sebagai keutamaan teratas Fed,” katanya.
Beliau berkata justeru, berkemungkinan hal itu memberikan peluang kepada pelabur untuk “mengunci” keuntungan.
Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan mengukuh berbanding pound British kepada 5.4163/4245 daripada 5.4207/4263 ketika ditutup semalam, dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5562/5603 daripada 2.5616/5644.
Bagaimanapun, ringgit turun berbanding euro kepada 4.6957/7029 daripada 4.6953/7001.
Ringgit didagangkan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara serantau ASEAN.
Mata wang tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.5250/5544 daripada 12.5930/6119 namun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1077/1127 daripada 3.1065/1099.
Unit domestik juga turun berbanding peso Filipina kepada 6.69/6.71 daripada 6.66/6.67, dan kurang stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 234.9/235.4 daripada 234.4/234.7 semalam.
-- BERNAMA