AM

Lebih 80 Ladang Babi Di Tanjong Sepat Telah Ditutup Setakat Ini - Exco

30/01/2026 07:58 PM

SHAH ALAM, 30 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor giat menjalankan pengosongan ladang ternakan babi dengan hanya lebih 30 ladang masih beroperasi di Kuala Langat berbanding 115 yang dilaporkan sebelum ini, susulan langkah penambahbaikan pengurusan penternakan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata langkah itu sebahagian daripada dasar negeri bagi memastikan pengurusan ladang babi dilaksanakan secara lebih teratur, mampan dan selaras dengan aspek kesihatan awam serta alam sekitar.

“Dalam (mesyuarat) Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), saya telah membentangkan cadangan penambahbaikan dan semua pihak bersetuju. Saya juga akan mengadakan satu lagi dialog selepas ini dengan masyarakat serta persatuan-persatuan Cina untuk memberikan kefahaman.

“Kita mahu uruskan industri ini dengan lebih baik demi kepentingan semua pihak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Pemegang Saham antara TNB Engineering Corporation Sdn Bhd (TNEC) dan PKNS FM Integrated Sdn Bhd (PFMI) di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini hari ini.

Izham berkata penambahbaikan itu dilihat sangat perlu ekoran penternakan yang tidak diurus secara mampan berisiko mengundang pelbagai masalah termasuk penularan penyakit yang akhirnya merugikan industri itu sendiri.

Beliau berkata kerajaan negeri telah memaklumkan dasar berhubung pengurusan ladang kepada pengusaha terlibat dan menegaskan bahawa aktiviti penternakan tidak boleh diteruskan di lokasi tertentu.

Bagaimanapun katanya tempoh munasabah bagi tujuan pengosongan dan pemindahan ladang secara berperingkat dan tersusun telah diberikan kepada penternak.

Selain itu, beliau berkata isu penyakit berkaitan ternakan babi di negeri itu setakat ini hanya membabitkan Demam Babi Afrika (ASF) yang tidak berjangkit kepada manusia dan bukannya Virus Nipah.

Dalam pada itu, Izham berkata Selangor menyasarkan peningkatan hasil padi kepada sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan tan bagi satu hektar tanaman bagi memastikan pengeluaran lebih mampan.

Katanya usaha itu akan dilakukan menerusi pendekatan baharu berimpak tinggi termasuk kaedah pengurusan sawah berskala besar.

Beliau berkata kerajaan negeri juga merancang untuk mengadakan perbincangan dengan kementerian berkaitan serta syarikat swasta bagi menggalakkan penglibatan sektor korporat dalam pengurusan sawah.

“Ketika ini subsidi padi mencecah RM1.28 bilion setahun dan kita melihat keperluan untuk menyusun semula sebahagian daripada subsidi itu sebagai insentif kepada syarikat yang bersedia bekerjasama dengan pesawah,” katanya sambil menambah antara isu dikenal pasti ialah ketidakpatuhan perjanjian apabila terdapat pesawah yang tidak menjual hasil kepada syarikat walaupun telah menerima bayaran pendahuluan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2518736