DUNIA

Astrazeneca Jalin Kerjasama Dengan Syarikat China Untuk Ubat Turunkan Berat

30/01/2026 07:59 PM

LONDON, 30 Jan (Bernama-PA Media/dpa) -- AstraZeneca mendedahkan kerjasama dengan CSPC Pharmaceutical Group dari China bagi mempertingkat pembangunan ubat percubaan untuk penurunan berat badan dan diabetes dalam perjanjian bernilai US$18.5 bilion, ketika syarikat itu berhasrat untuk menembusi sektor yang sedang berkembang pesat, lapor PA Media/dpa.

Di bawah perjanjian itu, gergasi farmaseutikal FTSE 100 itu akan mempunyai akses kepada hak eksklusif global, di luar China, bagi portfolio teknologi dos sebulan sekali CSPC untuk pengurusan berat badan, menawarkan penyelesaian yang lebih mudah berbanding suntikan harian.

Kedua-dua syarikat juga akan bekerjasama dalam empat program tambahan menggunakan platform CSPC untuk teknologi bertindak panjang serta penemuan ubat peptida dipacu kecerdasan buatan (AI).

Sharon Barr, naib presiden eksekutif dan ketua penyelidikan serta pembangunan biofarmaseutikal di AstraZeneca berkata: “Kerjasama strategik ini memajukan portfolio pengurusan berat badan kami dengan menyediakan aset baharu yang melengkapi program sedia ada.

“Ia memberikan akses kepada keupayaan peptida dipacu AI dan teknologi platform proprietari CSPC, yang berpotensi mengubah rawatan obesiti, membantu mengatasi masalah kepatuhan dan kemudahan penggunaan sebagai halangan utama kejayaan terapi jangka panjang.

“Ini adalah langkah penting dalam mewujudkan portfolio pilihan mudah, berskala dan lestari yang boleh membantu individu dengan obesiti dan komplikasi berkaitan berat badan hidup lebih sihat dan lebih baik.”

Dongchen Cai, pengerusi CSPC, menambah ia merupakan “kerjasama menang-menang”.

Beliau berkata perjanjian itu akan membolehkan syarikat berkenaan “menyediakan generasi rawatan seterusnya berdasarkan sains baharu, menggunakan platform teknologi kami dan keupayaan serta capaian pelengkap AstraZeneca, untuk merealisasikan manfaat kesihatan global bagi mereka yang memerlukan pengurusan berat badan yang lebih baik.”

Perjanjian ini merupakan kerjasama terkini antara kedua-dua pihak yang sebelum ini telah bekerjasama dalam projek seperti AI.

Bagi akses kepada lapan program penurunan berat badan secara keseluruhan, AstraZeneca akan membayar CSPC US$1.2 bilion di awal, dengan sehingga tambahan US$17.3 bilion lagi sekiranya pencapaian pembangunan dan jualan dipenuhi.

Perjanjian ini dijangka selesai pada suku kedua tahun ini.

Langkah ini membolehkan AstraZeneca meningkatkan pelaburan dalam pasaran ubat penurunan berat badan dan diabetes yang berkembang pesat, yang sebelum ini didominasi oleh jenama blockbuster Mounjaro, Ozempic dan Wegovy.

Dianggarkan hampir tiga bilion orang di seluruh dunia mengalami obesiti atau berat badan berlebihan, menurut AstraZeneca.

Syarikat itu menyifatkan obesiti sebagai “penyakit kronik, berulang, pelbagai faktor dan menyumbang kepada lebih 200 komplikasi.”

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2518737