AM

Wanita Warga Emas Kritikal Akibat Letupan Tong Gas

30/01/2026 09:48 PM

IPOH, 30 Jan (Bernama) -- Seorang wanita warga emas berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami kecederaan melecur hampir seluruh badan akibat letupan tong gas di sebuah rumah dua tingkat di Taman Kledang Emas, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian menimpa mangsa berusia 63 tahun itu pada pukul 4.57 pagi.

Beliau berkata hasil temu bual dengan salah seorang anak perempuan mangsa mendapati wanita itu terhidu bau gas yang kuat dan mengesyaki kemungkinan berlaku kejadian tidak diingini sebelum mengejutkan ibu serta adik perempuannya untuk keluar dari rumah bagi mengelakkan sebarang insiden.

“Bagaimanapun, ketika hendak keluar dari rumah, mangsa dilaporkan ke dapur untuk menutup pembuka tong gas berkenaan sebelum satu letupan berlaku secara tiba-tiba, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan melecur di bahagian muka dan hampir seluruh anggota badan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Abang Zainal Abidin berkata kedua-dua anak mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala suami mangsa berada di luar ketika kejadian berlaku.

Beliau berkata mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2518778