ALOR SETAR, 1 Feb (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menyiapkan sepenuhnya projek pembangunan di Kampung Tok Kepak dekat Kodiang di bawah Program Kampung Angkat MADANI 2025.
Majlis penyerahan rasmi projek itu disempurnakan Ketua Setiausaha KPKT Datuk Dr M Noor Azman Taib di Perkarangan Masjid Al-Huda, semalam.
Beliau berkata projek utama dan penambahbaikan kemudahan itu sebahagian daripada strategi kerajaan untuk merapatkan jurang infrastruktur antara desa dan bandar dengan memfokuskan kawasan yang benar-benar memerlukan perhatian khusus dalam konteks kemudahan asas.
“Kejayaan pembangunan ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan perkhidmatan sampai ke peringkat akar umbi secara cepat, mudah dan berkesan.
“Saya berharap semua kemudahan yang disediakan ini dijaga dan digunakan sebaik mungkin supaya dapat memberi manfaat kepada penduduk untuk jangka masa panjang dan dinikmati generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pemilihan Kampung Tok Kepak berlandaskan Garis Panduan Pelaksanaan Kampung Angkat MADANI 2025, memandangkan status kampung itu sebagai kawasan luar bandar yang terpinggir dan memerlukan prasarana seperti jalan, dewan dan lampu jalan.
“Projek berimpak tinggi melalui peruntukan RM1 juta diluluskan Kementerian Kewangan melibatkan pelbagai projek infrastruktur dan sosial telah dilaksanakan dengan jayanya bagi manfaat kira-kira 300 penduduk setempat.
“Antara projek utama yang siap sepenuhnya ialah naik taraf Tabika KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat), naik taraf menara dan dapur masjid, surau serta Tabika Islam selain pemasangan penyaman udara dan kelengkapan di Tabika KEMAS, dewan komuniti dan balai raya,” katanya.
M Noor Azman berkata antara projek lain yang dilaksanakan ialah pemasangan lampu jalan jenis solar, pembinaan dataran awam di hadapan Sekolah Kebangsaan Tok Kepak, kerja landskap di sekolah itu dan masjid, naik taraf taman permainan Tabika KEMAS serta Program Baik Pulih Rumah dan Program Bina Baharu Rumah Bandar.
Sempena majlis penyerahan projek itu, pelbagai perkhidmatan terus kepada rakyat turut diadakan termasuk Jualan Rahmah, pemeriksaan kesihatan dan gunting rambut serta tukar minyak hitam motosikal secara percuma.
-- BERNAMA