KOTA TINGGI, 2 Feb (Bernama) -- Seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama-sama pekerja terbalik dipercayai akibat dilanggar sebuah lagi bot di perairan Pengerang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman berkata menerima maklumat kejadian daripada isteri mangsa.
Beliau berkata Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Pengerang serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat sejurus maklumat diterima.
“Siasatan awal mendapati bot nelayan jenis fiber dinaiki mangsa berusia 55 tahun dan pekerja warga asing 32 tahun dilanggar sebuah bot yang tidak dikenal pasti pemiliknya sebelum terbalik.
“Bagaimanapun dalam kejadian 9.50 malam itu, pekerja tersebut ditemukan selamat selepas berpaut pada kayu bot," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof memohon kerjasama nelayan di sekitar lokasi kejadian membantu mengesan mangsa.
Mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi menerusi talian 07-883 7222 atau Pemangku Ketua Polis Balai Pengerang Sarjan Romeo Usit 011-10182027 atau hadir ke balai berhampiran.
-- BERNAMA