GEORGE TOWN, 4 Feb (Bernama) -- Sebanyak 252 kesalahan berkaitan kebersihan premis makanan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 direkodkan di Pulau Pinang sepanjang tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) turut menerima 475 aduan daripada orang awam berkaitan premis makanan dalam tempoh sama.
"Sebanyak 348 aduan melibatkan restoran dan kedai makan, diikuti warung atau gerai (35), pasar raya (31) dan medan selera (14).
''Selain itu, sembilan aduan diterima membabitkan kantin sekolah, dapur taska, prasekolah atau asrama manakala perkhidmatan katering (dua) dan lain-lain (36),'' katanya kepada pemberita selepas melancarkan operasi pematuhan keselamatan makanan sempena Tahun Baharu Cina 2026 (Ops Ma 2026) di sini hari ini.
Beliau berkata aduan yang diterima tidak semestinya berkaitan kebersihan sebaliknya merangkumi pelbagai aspek seperti label tidak lengkap termasuk ketiadaan butir yang dikehendaki, iaitu alamat pengimport dan tarikh luput.
Gooi berkata terdapat juga kes makanan yang telah melepasi tarikh luput tetapi masih dijual kepada pengguna dan pembungkusan makanan yang rosak serta tidak lagi sesuai untuk dipasarkan.
Katanya semua kesalahan itu dikenal pasti hasil pemeriksaan dan pemantauan berterusan yang dijalankan JKNPP ke atas pelbagai premis makanan di seluruh negeri sepanjang tahun lepas.
Beliau berkata sepanjang Januari 2026, sebanyak 12 operasi pemeriksaan telah dijalankan dengan 10 notis kompaun bernilai keseluruhan RM18,500 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan khususnya pelabelan tidak lengkap, makanan melepasi tarikh luput serta kerosakan fizikal pada pembungkusan makanan.
Gooi berkata selain kompaun, pihaknya turut menjalankan 145 sitaan produk makanan dengan nilai hampir RM700 membabitkan makanan yang didapati tidak mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan.
"Dari aspek pensampelan makanan, satu kes pelanggaran telah direkodkan melibatkan kandungan racun perosak melebihi had dibenarkan dan dikenakan denda RM15,000 terhadap pihak terlibat selepas ujian makmal mengesahkan pelanggaran di bawah Akta Makanan 1983,'' katanya.
-- BERNAMA