PUTRAJAYA,4 Feb (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 28 tahun dan 24 sebatan rotan ke atas seorang pemotong rumput selepas disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan merogol adik iparnya berusia 12 tahun pada 2021.
Lelaki berusia 41 tahun itu gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan dan hukuman tersebut oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Azman Abdullah, dan dibantu oleh Datuk Noorin Badaruddin serta Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid.
Dalam penghakiman sebulat suara, Hakim Azman berkata keterangan mangsa mengenai kejadian rogol disokong oleh bukti perubatan dan menegaskan bahawa mangsa tidak akan mereka cerita terhadap tertuduh.
Beliau berkata hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen untuk setiap pertuduhan adalah wajar dan tidak melampau.
Menurut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun di sebuah rumah di Marang, Terengganu, antara Februari hingga Julai 2021.
Pada 8 September 2024, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman bagi pertuduhan kedua dan ketiga dijalankan serentak selepas tertuduh selesai menjalani hukuman bagi pertuduhan pertama.
Bagaimanapun, tertuduh juga hanya akan menjalani hukuman 24 sebatan berdasarkan had maksimum dibenarkan mengikut Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah.
Pada 22 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak rayuan tertuduh dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen, sekali gus mendorongnya mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Semasa prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan, tertuduh diwakili peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud, manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Aizuddin Masrom mewakili pihak pendakwaan.
-- BERNAMA