AM

Kebakaran Hutan Taman Botani Pulau Pinang Dipadam Sepenuhnya - Bomba

05/02/2026 11:33 AM

GEORGE TOWN, 5 Feb (Bernama) -- Kebakaran hutan di Taman Botani Pulau Pinang, Jalan Kebun Bunga, di sini, semalam berjaya dipadamkan sepenuhnya malam tadi, namun kerja-kerja pemantauan di kawasan terjejas masih giat dijalankan hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata kebakaran yang bermula pada 6.20 petang semalam berjaya dikawal pada 9.30 malam tadi dan dipadamkan sepenuhnya pada 10.50 malam.

Beliau berkata operasi pemadaman kebakaran seluas lapan hektar itu dibahagikan kepada tiga sektor.

“Setakat pagi ini, kerja-kerja overhaul atau memastikan tiada kebakaran lain berlaku sedang dijalankan di sektor C dengan berbaki hanya kira-kira 10 peratus kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain menggunakan "firebeater" dan "jet shooter", pasukan bomba turut membuat parit bagi mengelak kebakaran merebak ke kawasan lain serta menjalankan pemantauan menggunakan dron.

Beliau memaklumkan sebanyak 31 anggota bomba termasuk penyelia terlibat dalam operasi pemadaman dengan dibantu enam Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Punca kebakaran sedang disiasat.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2520296