BEIJING, 5 Feb (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping mengadakan perbincangan melalui telefon dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu malam.
Dalam perbualan itu, Xi menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Trump untuk terus mengemudi hubungan China-AS ke arah lebih stabil serta mencapai lebih banyak kejayaan besar pada masa hadapan.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan terbaik untuk menangani kebimbangan kedua-dua pihak ialah dengan bertindak sehaluan, berlandaskan prinsip kesaksamaan, saling menghormati dan saling menguntungkan.
Menurut Xi, China dan AS perlu memperkukuh dialog dan komunikasi, mengurus perbezaan dengan baik dan memperluas kerjasama pragmatik berdasarkan konsensus yang telah dicapai.
Kedua-dua negara juga perlu memupuk rasa saling percaya secara berterusan dan mencari kaedah yang sesuai untuk mengurus hubungan dua hala, katanya.
Sementara itu, Trump menyifatkan hubungan AS-China sebagai ikatan dua hala terpenting di dunia selain menghargai interaksi positif antara kedua-dua negara dalam bidang ekonomi serta perdagangan.
Trump berkata beliau gembira melihat kejayaan yang dicapai China dan menegaskan bahawa AS mahu memperkukuh kerjasama dengan China bagi mendorong hubungan kedua-dua negara mencapai kemajuan baharu.
-- BERNAMA-CMG