KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Sebanyak 4,687 persatuan dan kelab sukan direkodkan sebagai tidak aktif atau bermasalah bagi tempoh 2020 hingga 2025, melibatkan pelbagai peringkat pentadbiran, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol.
Beliau berkata berdasarkan rekod dan statistik Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS), angka itu merangkumi 23 badan sukan peringkat kebangsaan, 206 peringkat negeri, 486 peringkat daerah dan 3,972 peringkat kelab.
Mordi berkata antara isu yang dikenal pasti ialah pelanggaran perlembagaan badan sukan dan pelanggaran Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui PJS sentiasa menggalakkan tadbir urus badan sukan dilaksanakan secara berintegriti dengan memantau pendaftaran, tahap pematuhan dan keaktifan persatuan serta kelab sukan selaras dengan peruntukan di bawah Akta 576,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang ingin tahu jumlah persatuan atau kelab sukan tidak aktif atau bermasalah sepanjang tempoh itu, serta tindakan dan mekanisme pemulihan oleh KBS.
Dalam usaha memperkasa badan sukan, beliau berkata program pengukuhan tadbir urus dilaksanakan dengan tumpuan kepada bimbingan dan latihan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan.
“Antara inisiatif dilaksanakan termasuk kursus pengurusan organisasi badan sukan, program pengukuhan advokasi tadbir urus dan integriti, hari bertemu pelanggan dan sesi dialog awam bersama badan sukan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Onn mengenai langkah kerajaan mendayaupaya semula persatuan belia agar kembali menjadi wadah perjuangan anak muda dan memupuk patriotisme, Mordi berkata had umur belia berpersatuan antara 15 hingga sebelum 30 tahun yang dilaksanakan menerusi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602) merupakan reformasi struktur penting.
“Berdasarkan rekod Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia setakat 31 Jan 2026, sebanyak 8,087 Pertubuhan Belia adalah berdaftar, yang mana keahlian di bawah umur 30 tahun pula adalah seramai 545,587 orang,” katanya.
Beliau berkata KBS melaksanakan pendekatan sokongan berfokus melalui penganjuran program advokasi termasuk kembara jumpa orang muda, program outreach Pertubuhan Belia, Kolaborasi Pinta Belia dan kursus pengurusan berkesan, yang turut melibatkan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan gabungannya.
Sementara itu, Mordi berkata sebanyak 8.7 peratus belia NEET atau not in education, employment or training berumur 15 hingga 24 tahun direkodkan pada 2024 manakala keciciran pelajar sekolah menengah pula sebanyak 2.55 peratus bagi tahun sama, berdasarkan data Jabatan Perangkaan.
“Data ini menunjukkan kewujudan kumpulan belia tercicir secara berterusan daripada sistem pendidikan, latihan dan pasaran pekerjaan sekiranya tiada intervensi awal dan bersepadu dilaksanakan,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) mengenai peranan KBS dan persatuan belia dalam menangani isu belia NEET.
-- BERNAMA