KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pendidikan kekal sebagai penyamarataan paling utama dalam agenda pembangunan Malaysia, dengan kerajaan memperuntukkan lebih RM84 bilion menerusi Belanjawan 2026 bagi memperkukuh reformasi pendidikan dan latihan.
Perdana Menteri berkata peruntukan itu bukan sahaja melibatkan komitmen kewangan, tetapi juga tekad untuk melaksanakan reformasi pendidikan dan latihan yang menggalakkan fleksibiliti, mobiliti dan pembelajaran sepanjang hayat, selaras dengan perubahan keperluan pasaran tenaga kerja.
“Reformasi ini memberi respons kepada pasaran pekerjaan yang sedang melalui fasa peralihan, di mana kemahiran perlu sentiasa diperbaharui, kerjaya berkembang dan pekerja memerlukan sokongan di pelbagai peringkat kehidupan.
“Pendidikan hari ini mesti melengkapkan rakyat Malaysia bukan sahaja dengan ilmu pengetahuan, tetapi juga keupayaan menyesuaikan diri, daya tahan, serta keyakinan untuk mengharungi perubahan,” katanya dalam ucaptama pada Forum Ekonomi Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata reformasi pendidikan dan latihan itu bertujuan memberi sokongan kepada pekerja seiring perkembangan kerjaya dan keperluan pembaharuan kemahiran secara berterusan.
Beliau menekankan bahawa kecerdasan buatan (AI) sedang dengan pantas mengubah industri dan corak pekerjaan, menjadikan tahap kesiapsiagaan menjadi faktor kritikal dalam menentukan sama ada teknologi membuka peluang atau melebarkan jurang ketidaksamaan
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan pertumbuhan yang menyeluruh, dengan berkata pembangunan wilayah, sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana serta perkhidmatan pelancongan bernilai tinggi adalah penting untuk ketahanan ekonomi jangka panjang.
Anwar juga menyatakan bahawa kemakmuran mesti disertai dengan jaminan terhadap keperluan asas, termasuk penjagaan kesihatan, perumahan, dan persediaan menghadapi masyarakat yang menua, yang merupakan asas kestabilan sosial.
Forum Ekonomi Malaysia 2026 menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin perniagaan, pelabur dan pakar industri untuk memacu agenda sosioekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030), dengan fokus kepada industri bernilai tinggi dan berpotensi pertumbuhan tinggi, keterangkuman, kelestarian, kecerdasan buatan, bakat masa hadapan dan peralihan tenaga.
-- BERNAMA