AM

Guna Air Secara Berhemat Susulan Musim Kemarau, Pengairan Padi - PBAPP

05/02/2026 08:20 PM

GEORGE TOWN, 5 Feb (Bernama) -- Pengguna di Pulau Pinang digesa menggunakan air secara berhemat sepanjang bulan ini susulan cuaca panas dan kering serta taburan hujan yang rendah dan pelepasan air pengairan yang agak besar di Sungai Muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K. Pathmanathan berkata taburan hujan yang direkodkan di Kawasan Tadahan Air (KTA) Emapangan Air Itam dari 1 Jan hingga semalam hanya 17.5 milimeter (mm), manakala KTA Empangan Teluk Bahang mencatat 5.5 mm.

Beliau berkata paras air Sunga Muda di muka sauk Lahar Tiang di Seberang Perai Utara (SPU) berada di bawah 2.0 meter selama 19 hari berturut-turut pada Januari dan terus berada di bawah paras itu dari 1 hingga 4 Feb.

"Terdapat beberapa hari pada Januari PBAPP tidak dapat mengabstrak jumlah air mentah pada tahap optimum dari sungai tersebut untuk menyokong sepenuhnya operasi pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

"LRA berkenaan menghasilkan kira-kira 85 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran air terawat Pulau Pinang, iaitu 1,208 juta liter sehari (JLH) pada 2025," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pathmanathan berkata sejak 19 Jan lepas, Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) telah melepaskan jumlah air yang besar dari Sungai Muda bagi tujuan bekalan air dan pengairan sawah padi di sepanjang Sungai Muda.

Di Kedah, paras air Empangan Beris dilaporkan telah susut sebanyak 12.65 peratus, manakala Empangan Muda menurun sebanyak 42.94 peratus antara 1 Jan hingga 4 Feb.

Beliau berkata Badan Kawal Selia Air Pulau Pinang (BKSA) telah meminta PBAPP untuk memastikan terdapat air yang mencukupi di bahagian hiliran muka sauk Lahar Tiang bagi menyokong aktiviti pengairan di Pulau Pinang, dan PBAPP telah mematuhi permintaan itu sejak 27 Jan lepas.

Bagi memastikan kecukupan dan kesinambungan bekalan air di Pulau Pinang, beliau berkata PBAPP melaksanakan beberapa pelan tindakan kejuruteraan termasuk pelepasan strategik air mentah dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD), bagi memastikan tiada kekurangan sumber air mentah yang boleh menjejaskan jumlah pengeluaran harian air terawat di LRA Sungai Dua.

Selain itu, di bawah program baharu Strategi Dua Empangan di bahagian pulau, PBAPP telah mengepam purata 407 JLH air dari LRA Sungai Dua ke Pulau Pinang pada Januari lepas.

Pathmanathan berkata PBAPP juga telah meminimumkan pelepasan air dari dua empangan di pulau sejak 1 Jan lepas bagi mengekalkan kapasiti efektif yang kukuh, walaupun corak hujan di KTA bagi kedua-dua empangan itu tidak lagi boleh diramal susulan perubahan iklim.

Beliau berkata setakat semalam, kapasiti efektif di Empangan Air Itam ialah 89.9 peratus, Empangan Teluk Bahang sebanyak 95.7 peratus dan Empangan Mengkuang Diperbesarkan, 89.9 peratus.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2520608