AM

Malaysia Perkukuh Promosi TMM2026 Melalui Kerjasama Berskala Antarabangsa

05/02/2026 08:12 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Tourism Malaysia bakal memperluas sayap promosi pelancongan negara melalui kerjasama dengan 210 pempengaruh daripada pasaran strategik seperti China, Jepun dan Rusia yang mempunyai lebih 800 juta pengikut. 

Inisiatif itu bagi memperkukuh kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), sekali gus meningkatkan keterlihatan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata langkah itu selari dengan strategi kementerian untuk memperluas capaian promosi melalui platform digital global. 

“Tourism Malaysia juga mengadakan kerjasama strategik dengan agensi swasta serta platform media sosial seperti TikTok, Weibo, Xiaohongshu (Little Red Book), dan YouTube, termasuk pempengaruh terkenal bagi memperluas capaian promosi pelancongan negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Tiong berkata Tourism Malaysia sedang meneliti cadangan kerjasama dengan syarikat penstriman dan telekomunikasi untuk menghasilkan kandungan kreatif dan berimpak tinggi bersempena dengan TMM2026, yang dijangka memberikan nilai tambah kepada promosi pelancongan negara. 

Tiong berkata kementerian komited untuk mempromosikan pelancongan di semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak, dan menyeru badan pelancongan negeri agar lebih proaktif membangunkan produk dan pakej baharu bagi menarik pelancong asing.

Menyentuh isu keselamatan pelancongan, khususnya di Kudat, Sabah, Tiong berkata kementerian telah memberikan penjelasan kepada pemain industri pelancongan antarabangsa tentang situasi semasa, sambil mempergiat promosi bagi menekankan kawasan itu sebagai destinasi selamat dan menarik.

“Oleh itu, kerjasama berterusan dengan Kementerian Luar amat penting untuk berunding dengan negara-negara yang mengeluarkan notis perjalanan bagi memastikan Malaysia terus menjadi pilihan utama pelancong antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2520625