ARAU, 5 Feb (Bernama) -- Polis menahan 'Geng Boy Arau’ terdiri daripada empat individu termasuk seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam empat kes pecah rumah dan satu kes curi kereta di sekitar negeri Perlis, pada Januari dan 2 Feb lepas.
Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata kesemua suspek berumur antara 28 hingga 47 tahun itu, masing-masing ditahan di Alor Setar, Kedah serta sekitar daerah ini pada semalam dan hari ini.
Beliau berkata suspek utama atau mastermind berusia 47 tahun, yang dipercayai pekerja kafe di sebuah universiti awam di sini, ditahan polis di kawasan Jalan Santan, Kangar, kira-kira 12.30 tengah hari pada hari ini, selepas melarikan diri malam tadi.
"Susulan tangkapan seorang suspek lelaki di tepi jalan Taman PKNK, Jalan Tun Abdul Razak di Alor Setar, Kedah, pada 7.50 malam tadi (4 Feb), membawa kepada satu lagi serbuan di pekarangan kafe di universiti itu pada 10.30 malam tadi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Mohsin berkata siasatan awal mendapati wanita berusia 31 tahun itu ialah isteri kepada pekerja kafe berkenaan dan polis turut merampas beberapa barangan dipercayai milik mangsa kes pecah rumah, menerusi pemeriksaan di kediaman suspek utama di Jalan Santan, Kangar.
Pekerja kafe itu mempunyai 12 rekod lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 12 rekod lampau melibatkan pelbagai kesalahan jenayah.
Berikutan tangkapan itu, pihak polis berjaya menyelesaikan kes pecah rumah dan curi kereta berkenaan yang berlaku pada 25, 27 dan 29 Jan serta 2 Feb, yang melibatkan kerugian kira-kira RM30,000.
Permohonan reman terhadap pekerja kafe itu akan dibuat esok, manakala tiga lagi suspek direman antara tiga hingga tujuh hari bermula hari ini.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA