JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Selamatkan Kru Kapal Dagang Cedera Di Perairan Lumut

06/02/2026 02:38 PM

IPOH, 6 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menerusi operasi pemindahan perubatan (Medevac) menyelamatkan seorang kru kapal dagang yang cedera selepas terjatuh di kapal kira-kira 3.9 batu nautika barat daya Pulau Dua dekat Lumut, semalam.

Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.52 pagi memaklumkan kru lelaki warga India berusia 54 tahun itu mengalami kecederaan pada kaki, leher dan muka di kapal MV Artenos akibat terjatuh.

Beliau berkata berdasarkan maklumat itu, Bot Perkasa 1223 diatur gerak ke lokasi sebelum mangsa berjaya dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh dan diserahkan kepada pasukan ambulans untuk rawatan lanjut di hospital.

Mohamad Shukri berkata setiap panggilan kecemasan di laut akan diberikan keutamaan tanpa mengira lokasi atau kewarganegaraan mangsa.

“Kecekapan anggota dan kesiapsiagaan aset membolehkan bantuan disalurkan segera. Keselamatan nyawa di laut sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan komuniti maritim supaya segera melaporkan kecemasan melalui talian 999 atau menghubungi Pusat Operasi APMM Perak 05-683 8737 bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2520832