PORT DICKSON, 6 Feb (Bernama) -- Walaupun usia menghampiri tujuh dekad, Lim Kee Yong masih bersemangat untuk terus menghidupkan kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina di kampungnya di Pekan Pengkalan Kempas dekat sini.
Lim, 69, berkata perasaan teruja untuk membuat persiapan masih kekal seperti zaman muda dengan menghias rumah serta kawasan sekitar pekan setiap kali menjelang sambutan perayaan itu.
Tinjauan Bernama mendapati warga emas itu tekun menyiapkan pelbagai hiasan di sekitar premis perniagaannya termasuk menggantung dekorasi dan lampu tanglung selain melukis mural pada dinding tepi kedai mengikut tema serta simbol haiwan tahun perayaan.
“Tahun lepas saya melukis ular disebabkan ia Tahun Ular. Kali ini ialah Tahun Kuda, jadi saya mengecat semula dinding dengan warna putih sebelum melukis gambar kuda. Begitulah setiap tahun.
“Ini tahun keempat saya melukis mural di sini dan membuat hiasan raya tanpa bayaran cuma barang hiasan dan peralatan melukis akan diminta daripada persatuan keceriaan kampung,” katanya kepada Bernama.
Lim yang menetap di kampung itu lebih 40 tahun lepas berkata selain lukisan mural, tanglung dan pokok bunga hiasan turut menceriakan pekan lama yang berusia lebih 200 tahun itu.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Pelancongan Pengkalan Kempas David Ng, 50, berkata hampir RM10,000 dibelanjakan setiap tahun untuk menghias kawasan tersebut sempena Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata perbelanjaan bagi menampung pelbagai aktiviti untuk menceriakan seluruh kampung yang mempunyai kira-kira 130 penduduk itu menggunakan dana hasil sumbangan orang ramai.
“Setiap kali perayaan, kampung ini meriah dengan kepulangan anak-anak yang bekerja di bandar,” katanya.
Ng berkata usaha menceriakan kampung menjadi keutamaan memandangkan Pengkalan Kempas sentiasa menjadi tumpuan peminat aktiviti memancing, khususnya pemancing udang galah.
Selain itu, inisiatif tersebut juga menyemai semangat perpaduan serta rasa tanggungjawab dalam kalangan penduduk untuk memastikan kampung sentiasa indah, selesa dan harmoni.
-- BERNAMA