KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd mengeluarkan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) kepada Greentronics Technology Bhd berikutan penyusutan ketara harga sahamnya, dengan peningkatan jumlah dagangan hari ini.
Bursa dalam pertanyaan UMA itu meminta Greentronics menjelaskan sama ada terdapat sebarang perkembangan korporat mengenai perniagaan dan hal ehwal kumpulan, termasuk aspek yang masih dalam peringkat rundingan dan perbincangan yang belum diumumkan sebelum ini dan mungkin memberikan penjelasan mengenai aktiviti dagangan itu.
Bursa turut mengemukakan pertanyaan sama ada terdapat sebarang khabar angin atau laporan mengenai perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang mungkin menjelaskan aktiviti dagangan itu, dan sama ada syarikat mengetahui sebarang penjelasan lain yang boleh memberikan maklumat mengenai aktiviti dagangan itu.
Selain itu, bursa turut mengemukakan pertanyaan sama ada Greentronics mematuhi Keperluan Penyenaraian (LR) Bursa Securities terutama Perenggan 9.03 LR Bursa Securities mengenai obligasi pendedahan segera.
Sementara itu, dalam pengumuman khas, Bursa Malaysia berkata mekanisme ambang harga dinamik saham Greentronics telah dinaikkan selama 10 minit bermula 10.40 pagi hingga 10.50 pagi selepas harga akhirnya menyusut dalam lingkungan 30 peratus atau 30 sen sama ada lebih tinggi atau lebih rendah daripada harga rujukan.
Harga rujukan adalah 24 sen manakala had atas dan had bawah masing-masing adalah 54 sen dan RM0.005.
Pada rehat tengah hari, saham Greentronics susut 5.5 sen atau 22.91 peratus kepada 18.5 sen dengan 8.87 juta saham diniagakan.
-- BERNAMA